suria

Playboy kebas duit, barang kemas keluarga artis popular sudah didakwa

Pemuda dikenali sebagai Bad (kiri) yang dikaitkan dengan kes kecurian barang kemas dan wang milik ahli keluarga Nelydia Senrose sudah dihadapkan ke mahkamah.

POLIS mengesahkan seorang penuntut lelaki di sebuah institusi pengajian tinggi awam yang dikaitkan dengan kes kecurian barang kemas dan wang milik ahli keluarga artis, Nelydia Senrose, sudah dihadapkan ke mahkamah.

Mengesahkan perkara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Subang Jaya Superintendan Amihizam Abdul Syukor berkata pihaknya menerima laporan dibuat seorang wanita berusia 50-an yang memaklumkan barang kemas serta mata wang asing dianggarkan berjumlah RM200,000 hilang di rumahnya di Taman Subang Mas, Subang Jaya, pada 22 November lalu.

ARTIKEL BERKAITAN: Playboy panjang tangan! Baik dengan keluarga artis popular kemudian curi duit, barang kemas - “Tak sangka sebab dia pernah imamkan solat”

ARTIKEL BERKAITAN: Raysha Rizrose kesal individu dikenali curi wang dan gelang pusaka keluarga - “Mama buat solat hajat sampai satu hari...”

“Hasil siasatan, kami menahan penuntut universiti itu di Kuala Terengganu, Terengganu pada 6 Disember lalu,” katanya memetik Harian Metro.

Menurut Amihizam, kes berkenaan sudah dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya.

“Suspek dituduh di mahkamah pada 10 Disember lalu mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan. Ketika ini, kes berkenaan masih dalam perbicaraan,” katanya lagi.

Portal mStar pada Ahad melaporkan keluarga pelakon popular itu mengalami kerugian gara-gara sikap panjang tangan pemuda yang berasal dari Terengganu itu.

Ia gara-gara pendedahan Nelydia menerusi satu posting di Twitter yang berkongsi kisah mengenai pemuda berusia 23 tahun itu mencuri barang kemas dan wang milik ahli keluarganya.

Menurut adik kepada Nelydia, iaitu Muhammad Farza Dida Qirana, pemuda yang dikenali sebagai Bad itu sebenarnya amat rapat dengan keluarganya kerana pernah bekerja dengan salah seorang kakaknya yang mengusahakan perniagaan katering.

Farza mendedahkan, mereka sekeluarga tidak mengesyaki perbuatan licik pemuda itu sehinggalah dia terkantoi pada November tahun lalu.

Dalam pada itu, segelintir netizen yang mengenali pemuda tersebut juga tidak menyangka lelaki yang digelar ‘playboy’ itu rupanya seorang yang panjang tangan.

Menurut beberapa individu yang mengenali pemuda itu, dia sebenarnya sudah dibuang daripada universiti.  

Artikel Lain