suria

Perlu tengok sendiri keadaan di Xinjiang, kata Duta China

DUTA Besar China di Malaysia, Bai Tian menganjurkan rakyat Malaysia agar melawat dan melihat sendiri keadaan sebenar di Xinjiang yang digembar-gemburkan oleh media Barat sebagai tidak aman.

Anda akan melihat sendiri bagaimana keadaan di Xinjiang selamat, aman dan makmur pada hari ini, katanya.

Malah Bai Tian berkata orang ramai boleh bercakap dengan etnik Uighur secara bebas dan tiada polis akan memantau perbualan itu.

ARTIKEL BERKAITAN: Kerajaan China jelaskan propaganda wujudnya penindasan di Xinjiang tidak betul

Tegasnya lagi, Perlembagaan negara itu turut memberi jaminan bahawa setiap individu mempunyai kebebasan untuk beragama.

Bai Tian berkata pembinaan 24,000 masjid dan 30,000 imam di Xinjiang membuktikan bahawa Islam dibenarkan berkembang di negara itu.

China juga memberi layanan istimewa kepada etnik Uighur dan sembilan komuniti Islam lain di negara itu berbanding masyarakat Han.

Komuniti Islam di negara itu tidak terikat dengan dasar satu anak yang dilaksanakan pada 1978.

Bai Tian.

Malah anak-anak komuniti itu turut mendapat pendidikan percuma selama 15 tahun (sembilan tahun untuk majoriti etnik Han) dan syarat kemasukan lebih rendah untuk pendaftaran ke universiti.

Bercakap kepada wartawan Sunday Star baru-baru ini, di Beijing, kerajaan turut membeli tanah bernilai 1.5 bilion yuan (RM882 juta) pada 2018 untuk dijadikan kawasan khas untuk tanah perkuburan Islam.

"Semua ini menunjukkan etnik Uighur dan umat Islam dilayan dengan baik.

"Namun kaum Han tidak mengadu kerana kami tahu golongan minoriti lebih memerlukan pertolongan," kata Bai Tian.

Kata Bai Tian lagi, tiada mana-mana kerajaan yang akan bertolak-ansur dengan sebarang bentuk penindasan.

Malah Bai Tian mengulangi pendirian mereka bahawa isu Xinjiang bukan mengenai bangsa, agama atau hak asasi manusia.

Katanya, ia mengenai perjuangan menentang keganasan, menghentikan kekejaman dan menangani isu pemisahan.

Dan kerajaan pusat kini sedang membangun dan memodenkan Xinjiang.

Menurut Beijing, Xinjiang berjaya menarik 250 juta pelancong tempatan dan luar negara pada 2019. - Foto milik Kedutaan China di Malaysia.

Malah tahun lepas sahaja, sebanyak 40 bilion yuan (RM23.6 bilion) diperuntukan untuk wilayah itu.

Tambahnya lagi, selain peruntukan kerajaan pusat, Xinjiang turut menerima peruntukan daripada beberapa wilayah terkaya di China.

Pada minggu lalu, agensi media Xinhua melaporkan 19 wilayah dan majlis perbandaran menyumbang kira-kira 18.8 bilion yuan (RM11 bilion) kepada Xinjiang pada 2019 untuk program kesejahteraan rakyat dan pembangunan ekonomi selain mengurangkan kadar kemiskinan.

Semua ini menunjukkan etnik Uighur dan umat Islam dilayan dengan baik.

BAI TIAN.

Duta Besar China di Malaysia.

Menurut laporan itu juga, Xinjiang mensasarkan untuk membasmi kemiskinan secara total tahun ini dengan membantu seramai 165,000 keluar daripada kemiskinan.

Tambah Bai Tian, dari 2014 hingga 2017, China berjaya membantu 1.85 juta etnik Uighur keluar daripada kemiskinan melampau.

Dengan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) 1.09 trilion yuan (RM590 bilion) pada 2017, terdapat 21 lapangan terbang di Xinjiang , dihubungkan ke wilayah lain dengan menggunakan bullet train atau kereta api laju.

Pada hari ini, Xinjiang dilihat sebagai kawasan ekonomi penting dibawah inisiatif Jalur dan Laluan (Belt and Road) negara itu.

Keadaan Xinjiang pada hari ini lebih selamat, aman dan makmur.

Kira-kira 1,000 perjalanan kereta api pengangkut barang antara China dan Eropah melalui Xinjiang setiap tahun.

Bai Tian berkata meskipun negara Barat tidak melihat perkembangan ekonomi dan kejayaan membebaskan diri daripada keganasan, banyak negara lain termasuk negara-negara Islam memberi Beijing pengiktirafan yang sewajarnya.

Tegasnya, pada Oktober lalu, kira-kira 54 negara menandatangani satu kenyataan bersama di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menyuarakan sokongan terhadap usaha China untuk menyingkir ekstremisme dan keganasan di Xinjiang dan memuji pencapaian 'luar biasa' dalam memperjuangkan hak asasi manusia.

Antara 54 buah negara itu, 34 merupakan negara Islam terdiri daripada Pakistan, Syria, Oman, Kuwait, Qatar, Emiriah Arab Bersatu dan Bahrain.

Katanya, laporan dengan paparan tajuk mengejutkan, contohnya 'gerakan penahanan Muslim sedang dijalankan secara besar-besaran di China', 'jutaan orang dipenjarakan di dalam kem penumpuan oleh kerajaan', 'krisis kemanusiaan yang paling teruk dalam 90 tahun', adalah antara permainan media Barat.

Realitinya, kerajaan China melindungi kebebasan beragama dan kepercayaan, menjaga hak dan kepentingan setiap kaum minoriti serta melarang diskriminasi terhadap mana-mana kaum, namun perkara itu tidak disiarkan media Barat.

Artikel Lain