suria

Lelaki pulang jogging di tasik temui wanita mahu buang bayi sendiri, luah hasrat ambil sebagai anak angkat

Muhamad Haswadi bersama bayi yang berjaya diselamatkan di Taman Tasek Ampang Hilir pada November lalu. FOTO: Sinar Harian.

PERTEMUAN yang tidak pernah pernah disangka.

Mungkin itulah kata-kata yang sesuai untuk menggambarkan bagaimana bermulanya kisah lelaki ini dengan seorang bayi.

Pada November lalu, Muhamad Haswadi Ali berjaya menyelamatkan bayi lelaki berkenaan yang ingin dibuang oleh ibunya di Taman Tasek Ampang Hilir, Ampang, Selangor.

Menurut jejaka berusia 39 tahun yang bekerja sebagai pengarah urusan itu, dia didatangi seorang wanita dipercayai warga Indonesia selepas selesai bersenam di tasik berkenaan.

"Sebaik sahaja selesai berjogging di tasik ini, saya menuju ke kereta untuk pulang ke rumah. Tiba-tiba seorang wanita yang tidak dikenali menghampiri saya dan memperkenal dirinya sebagai Riya.

"Dia meminta tolong saya untuk menjaga bayi ini dan mengancam untuk membuang bayi ini jika saya tidak ambil," katanya.

Jelasnya, wanita terbabit kemudian bertindak menyerahkan bayi berkenaan bersama sebuah beg berwarna biru yang mengandungi butiran peribadi, susu dan barangan bayi.

Dia ternyata simpati dengan nasib mereka dan membuat keputusan untuk mengambil bayi berkenaan sebelum membuat laporan di Balai Polis Ampang Jaya bagi memaklumkan kejadian tersebut.

"Sejak dari itu saya menjaga bayi ini dan mula menganggap bayi ini sebagai anak saya sendiri," katanya.

Justeru itu, dia turut berhasrat untuk mengambil bayi lelaki berkenaan yang bernama Azrill Qayyim Abdullah berusia satu bulan sebagai anak angkat.

Dia juga telah mendapat kelulusan hak penjagaan sementara selama sebulan daripada Jabatan kebajikan Malaysia (JKM) dan Mahkamah sebelum memperoleh hak jagaan sepenuhnya. - Sinar Harian.

Artikel Lain