AJAL maut, jodoh pertemuan segalanya di tangan tuhan. Itulah yang boleh menggambarkan nasib seorang lelaki yang terselamat biarpun parah dirempuh sebuah Ford Ranger. Menerusi kejadian di Jalan Kebun, Klang, Selangor pada Khamis, Muhammad Anas Mokti, 27, mengalami kecederaan patah tulang pinggul serta tulang paha kanan. Menurut kakak mangsa, Latifah Mokti, 49, dia bagaimanapun bersyukur adiknya terselamat dalam kejadian itu. "Kami sekeluarga bersyukur kerana Allah masih panjangkan nyawa adik," ujarnya. Menurut Latifah, Muhammad Anas ialah anak bongsu daripada enam adik beradik dan tahu adiknya itu ditimpa kemalangan kira-kira jam 8 pagi ketika berada di rumahnya di Kampung Parit Serong, Tanjong Karang. "Saya terkejut bila dapat tahu adik dan rakannya terlibat kemalangan lalu bergegas ke hospital," katanya. Tambah Latifah, kejadian dipercayai berlaku ketika semua mangsa dalam perjalanan pulang bekerja di sebuah kilang dan adiknya memang sudah lima tahun bekerja di kilang berkenaan. "Mereka bertiga yang tinggal menyewa di Klang memang kawan baik dan sering bersama ke tempat kerja," katanya. Terdahulu, Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Kamarudin Jaffar menziarahi Muhammad Anas di Wad Orkid 6B, Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang. Sinar Harian sebelum itu melaporkan seorang penunggang motosikal maut manakala dua lagi rakannya cedera selepas dua motosikal dirempuh pacuan empat roda Ford Ranger, pagi Khamis. Dalam kejadian jam 7.20 pagi itu, penunggang motosikal Nuovo LC, Muhammad Zulfakkar Borhan, 29, meninggal dunia di lokasi kejadian manakala Muhammad Anas dan penunggang motosikal EX5, Muhammad Hazid Mohd Kamil, 27 parah dan masing-masing dikejarkan ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang. Pemandu Ford Ranger berusia 37 tahun pula tidak mengalami kecederaan.