PENYELIDIKAN terbaharu mengenai koronavirus dari Wuhan, China mendapati virus tersebut mungkin terdapat dalam paru-paru seseorang walaupun dia tidak menunjukkan simptom-simptom jelas. Ini menunjukkan kuarantin dan tindakan menjejaki kontak atau hubungan harus dilakukan dengan lebih ketat untuk menghalang jumlah kes daripada terus meningkat. Tanpa pengawasan ketat, pesakit-pesakit ini dapat menjadi faktor berbahaya lain untuk virus Wuhan, dengan jumlah dan negara yang terkena jangkitan meningkat dengan cepat. ARTIKEL BERKAITAN: Dua dah ditahan di Singapura, ramai pertikai bagaimana ahli keluarga lain ‘lepas’ masuk Malaysia - “Mereka sudah ada perancangan” ARTIKEL BERKAITAN: Menteri sahkan 3 pelancong warga China masuk Malaysia positif koronavirus Penemuan ini dilaporkan dalam jurnal perubatan The Lancet edisi Jumaat yang dilakukan oleh sekumpulan doktor termasuk pakar penyakit berjangkit Hong Kong yang terkenal, Profesor Yuen Kwok-yung, memetik SCMP. Mereka membuat kajian berdasarkan tujuh sekeluarga yang dimasukkan ke Hospital University of Hong Kong-Shenzhen antara 10 hingga 15 Januari lalu. Menteri Kesihatan Dr Dzulkefly Ahmad pada Sabtu mengesahkan tiga warga China yang memasuki Malaysia sah positif koronavirus. -foto Bernama Enam ahli keluarga itu kemudiannya didiagnosis dengan koronavirus, dikenali sebagai 2019-nCoV sekali gus membangkitkan kebimbangan di seluruh dunia, tanpa petunjuk bagaimana ia merebak. Seorang daripada enam anggota keluarga yang dijangkiti virus itu, iaitu seorang budak lelaki berusia 10 tahun pada mulanya tidak menunjukkan sebarang simptom tetapi imbasan CAT pada paru-parunya menunjukkan ketidaksekataan yang dipanggil perubahan 'ground-glass (kaca-hancur) pneumonic'. "Seperti yang ditunjukkan dalam kajian ini, masih penting untuk mengasingkan pesakit serta mengesan dan mengkuarantin kontak seawal yang boleh kerana jangkitan asimptomatik (tanpa gejala) adalah sesuatu yang mungkin," kata laporan itu. Menurut doktor, enam ahli keluarga itu telah berkunjung ke Wuhan dari Shenzhen antara 29 Disember dan 4 Januari lalu dan budak lelaki terbabit yang mengalami jangkitan tanpa gejala (dirujuk sebagai Patient 5) dalam kajian adalah salah seorang daripada dua kanak-kanak dalam kumpulan tersebut. Seorang lagi kanak-kanak perempuan berusia tujuh tahun juga tidak menunjukkan gejala, dan dia, tidak seperti budak lelaki itu, dilaporkan oleh ibunya sentiasa memakai topeng pembedahan hampir sepanjang masa selama di Wuhan. Laporan itu mengatakan bahawa imbasan CAT paru-paru budak lelaki itu dilakukan atas desakan ibu bapanya yang panik walaupun tidak menunjukkan simptom jelas. Laporan itu juga menyatakan bahawa dua ahli keluarga yang lain kemudiannya didiagnosis dengan koronavirus tidak demam ketika mereka pertama kali hadir di hospital. Pada Sabtu, Malaysia menjadi salah sebuah negara yang mencatatkan kes koronavirus apabila Menteri Kesihatan Dr Dzulkefly Ahmad mengesahkan tiga warga China yang memasuki negara ini sah positif virus tersebut.