suria

Koronavirus: Rakyat Malaysia di Wuhan selamat, kedutaan sentiasa pantau situasi

Marzuki menjawab pertanyaan pemberita selepas menghadiri majlis sambutan Tahun Baru Cina anjuran Menteri Kewangan dan Dewan Perniagaan Tionghua Pulau Pinang di Pusat Konvensyen Setia SPICE, Georgetown, pada Sabtu. Foto: Bernama

SUSULAN penularan wabak koronavirus yang semakin meruncing, timbul kebimbangan mengenai keadaan rakyat Malaysia yang menetap di wilayah bermulanya wabak tersebut iaitu Wuhan, China.

Tampil menjelaskan perkara itu, Timbalan Menteri Luar Datuk Marzuki Yahya berkata, rakyat Malaysia yang menetap di wilayah berkenaan yang kebanyakannya terdiri daripada pelajar dan ekspatriat dilaporkan berada dalam keadaan selamat.

Marzuki berkata, pihak kedutaan Malaysia di China sentiasa memantau keadaan rakyat negara ini yang menetap di sana dan terus menyalurkan maklumat berkaitan.

ARTIKEL BERKAITAN: Menteri sahkan 3 pelancong warga China masuk Malaysia positif koronavirus

ARTIKEL BERKAITAN: “Jangan halang mereka” - Kerajaan tiada rancangan sekat pelancong China masuk Malaysia, hanya lakukan saringan

"Kita memantau rakan-rakan kita yang berada di sana (Wuhan) terutama warga Malaysia dan saya berharap sangat rakyat Malaysia yang berada di sana cepat-cepat menghubungi kedutaan kita di sana.

"Kedutaan kita beroperasi 24 jam untuk memantau segala maklumat dan segala permasalahan rakyat negara ini yang berada di Wuhan," katanya.

Marzuki berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Sambutan Tahun Baharu Cina anjuran Menteri Kewangan, Lim Guan Eng dan Dewan Perniagaan Cina Pulau Pinang di Pusat Konvensyen Setia SPICE di Georgetown, pada Sabtu.

Tambahnya lagi, sehingga kini 1,300 orang disahkan terkena jangkitan wabak koronavirus dan peningkatan kematian juga dilaporkan bertambah daripada 21 orang kepada 46 orang, di Wuhan.

Sementara itu Marzuki berkata, kerajaan tidak melarang mana-mana individu yang ingin ke Wuhan.

Bagaimanapun ujarnya, sebaik-baiknya mereka dinasihatkan untuk membatalkan hasrat ke sana buat masa ini bagi mengelakkan kejadian tidak diingini berlaku. - BERNAMA

Wuhan, koronavirus, kedutaan, selamat, rakyat

Artikel Lain