suria

Kerajaan gantung serta merta visa rakyat China dari Wuhan, Hubei

Keputusan menggantung sementara semua kemudahan imigresen kepada rakyat negara China dari Bandar Wuhan dan Wilayah Hubei di kelilingnya ini dibuat setelah mengambil kira perkembangan terkini kes jangkitan koronavirus. Foto: Bernama

SUSULAN perkembangan terkini wabak novel koronavirus 2019 (2019-nCoV) di China, kerajaan memutuskan untuk menggantung sementara semua kemudahan imigresen kepada rakyat negara itu dari Bandar Wuhan dan Wilayah Hubei di kelilingnya.

Menerusi satu kenyataan Pejabat Perdana Menteri (PMO) pada Isnin, kemudahan itu termasuk kemudahan tanpa visa (eNTRY), visa semasa ketibaan (visa on arrival), e-visa dan visa manual.

ARTIKEL BERKAITAN: Tiada kemasukan pelancong dari Wuhan sejak 23 Januari... kes koronavirus kekal 4

ARTIKEL BERKAITAN: Statistik terbaharu koronavirus dari sidang media Menteri Kesihatan

"Keputusan ini dibuat setelah mengambil kira perkembangan terkini kes jangkitan novel koronavirus 2019 (2019-nCoV) di negara China, khususnya di Wilayah Hubei tersebut dan ianya adalah berkuatkuasa serta merta.

"Kemudahan imigresen ini akan diberikan semula setelah keadaan kembali normal," kata PMO dalam kenyataan itu lagi.

Kenyataan tersebut turut memaklumkan bahawa Wisma Putra akan menyelaraskan keputusan itu bersama kerajaan China.

Dalam pada itu kerajaan Malaysia juga mengingatkan kepada semua pihak agar tidak menyebarkan maklumat yang tidak sah atau palsu berkenaan novel koronavirus ini yang boleh menyebabkan ketidaktenteraman kepada masyarakat umum.

Kes wabak koronavirus mencatatkan peningkatan apabila kerajaan China pada Ahad mengumumkan 80 individu di negara itu maut akibat terkena jangkitan. Sehingga kini hampir 3,000 kes positif kes wabak berkenaan dikesan di negara itu.

Artikel Lain