SESEORANG hanya mampu memperoleh pendapatan yang tinggi menerusi keterlibatan di dalam bidang keusahawanan, dan bukannya makan gaji, demikian kata Tun Dr Mahathir Mohamad. Menurut perdana menteri, melibatkan diri di dalam perniagaan dengan fokus adalah kunci utama untuk bergelar jutawan. ARTIKEL BERKAITAN: Dr Azizan Osman catat sejarah, anak Malaysia pertama dianugerah Top 50 Marketing and Advertising Leaders sempena MADcon Dubai 2019 “Saya memang minat melihat lebih ramai orang yang tinggal di luar bandar berjaya dalam perniagaan kerana kita tahu ada banyak perbezaan di antara bandar dan luar bandar. “Kebiasaannya, orang bandar lebih kaya dan penduduk luar bandar lebih miskin. Tetapi, kalau kita belajar berniaga, kita dapat pendapatan yang tinggi, bahkan lebih daripada orang bandar. “Kita harus ingat, manfaat rezeki daripada perniagaan. Kalau makan gaji, setakat itu saja. Tetapi (dengan) berniaga, kita boleh jadi jutawan,” kata Dr Mahathir. Perdana Menteri berkata demikian ketika berucap di hadapan 11,000 peserta tempatan, Singapura dan Brunei yang menyertai Program Santai Bersama Usahawan Berjaya anjuran RichWorks International Sdn Bhd di Setia City Convention Centre, Shah Alam, Selangor pada Sabtu. Penceramah motivasi, Dr Azizan Osman ketika menyampaikan ceramah pada program Nak Ubah Hidup (NUH) 2020 anjuran RichWorks International Sdn Bhd di Setia City Convention Centre, baru-baru ini. Program selama tiga hari yang berakhir hari ini bertemakan Nak Ubah Hidup (NUH) 2020 turut mendapat kerjasama Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah. Ketibaan Dr Mahathir yang turut ditemani isteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali dan Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Rina Harun disambut dengan penuh gilang gemilang oleh penceramah motivasi, Dr Azizan Osman serta peserta yang hadir. Dalam program tersebut, sebilangan usahawan Bumiputera turut berkongsi kisah kejayaan mereka kepada pemimpin nombor satu negara itu. Mereka yang mengusahakan pelbagai produk seperti baju kurung, perabot sehinggalah kepada produk penjagaan diri kini mampu berbangga apabila memiliki kilang sendiri dan sudah mempunyai tapak yang kukuh dalam platform atas talian. Dalam pada itu, Dr Mahathir juga memberitahu kerajaan berminat untuk menghantar usahawan tempatan ke Okinawa, Jepun bagi mempelajari kemahiran beberapa perusahaan di negara terbabit. Program Nak Ubah Hidup (NUH) 2020 bertujuan untuk membantu usahawan atau bakal usahawan meningkatkan tahap potensi diri, kehidupan dan kedudukan kewangan melalui bisnes yang berjaya dan menguntungkan “Baru-baru ini, saya ke Okinawa dan mendapati adanya beberapa perusahaan yang boleh diusahakan dengan baik oleh orang Melayu. “Saya ingin cari orang yang berminat dihantar ke Okinawa dan tempat lain di Jepun untuk belajar perniagaan di sana. “Saya melawat sebuah kilang kaca dan saya melihat produk yang cantik. “Lepas itu, mereka suruh saya buat (barang kaca di kilang itu). Mana boleh saya nak buat, saya tidak pernah buat kerja itu. “Tapi percayalah, dalam jangka masa 15 minit, saya dapat buat gelas berwarna merah yang walaupun tidaklah terbaik, tapi boleh digunakan. “Kita boleh belajar jika mahu, kita ada kebolehan. Tapi kalau tak ada usaha, kita tidak akan dapat guna kebolehan kita,” katanya. Program Nak Ubah Hidup (NUH) 2020 adalah program untuk membantu usahawan atau bakal usahawan meningkatkan tahap potensi diri, kehidupan dan kedudukan kewangan melalui bisnes yang berjaya dan menguntungkan.