"DENGAN adanya sumbangan seperti ini, ia dapat meringankan beban kami dalam menguruskan rutin harian," demikian pengakuan jujur daripada salah seorang penerima kerusi roda Star Foundation, Nur Hafizuddin Muhamad. Star Foundation baru-baru ini tampil memberi sumbangan sebanyak 10 buah kerusi roda kepada golongan yang memerlukan melalui Yayasan Orang Kurang Upaya Kelantan (Yokuk). Menurut penolong pengurusnya Selina Ng, sumbangan kepada golongan yang memerlukan seperti ini bukanlah kali pertama dilaksanakan oleh yayasan di bawah Kumpulan Media Star Berhad. "Sejak 2017, kami telah menyumbangkan lebih 200 buah kerusi roda kepada mereka yang memerlukan untuk membantu pergerakan harian dan menikmati kehidupan yang lebih baik. "Kami sentiasa bersedia untuk tampil membantu golongan yang kurang bernasib baik. Kali ini kami berpeluang menghulurkan bantuan kepada golongan yang memerlukannya di negeri Kelantan. Selina (kanan, belakang) dan Suliana bersama salah seorang penerima kerusi roda baharu. "Kami berharap dengan sumbangan ini ia dapat membantu melancarkan kehidupan mereka selain kerja-kerja harian menjadi lebih produktif," jelasnya kepada mStar. Sementara itu Pengerusi Yokuk, Datin Suliana Shamsuddin Alias mengakui sumbangan daripada Star Foundation ini sangat bermakna kepada golongan yang memerlukannya. "Jika diikuti senarai yang ada, memang ramai yang memerlukan kerusi roda baharu dan sehingga kini kami memang mengharapkan ada pihak yang sudi tampil memberi sumbangan peralatan ini. "Terima kasih kepada Star Foundation kerana setuju menyerahkan sebanyak 10 buah kerusi roda. Ini dianggap permulaan baik bagi tahun 2020 kerana kami dapat membantu mereka yang memerlukannya. "Sebelum ini kami belum pernah menerima sebarang sumbangan kerusi roda yang lebih selesa dan sebelum ini juga mereka berkongsi atau bergilir-gilir menggunakannya," jelasnya. Sementara itu, salah seorang penerima sumbangan Nur Hafizuddin Muhamad, 35, mengakui terharu mendapat kerusi roda baharu. Hafizuddin (dua kanan) antara penerima kerusi roda baharu sumbangan Star Foundation yang diserahkan melalui Yokuk. Hafizuddin yang mengalaman masalah saraf terpaksa menggunakan kerusi roda untuk pergerakan sehariannya, namun terpaksa berkongsi dengan dua lagi abangnya yang mengalami penyakit yang sama. "Di rumah saya hanya ada satu kerusi roda sahaja dan terpaksa berkongsi dengan dua lagi abang saya yang mempunyai masalah kesihatan yang sama. "Dengan bantuan ini, ia dapat melancarkan pergerakan saya dalam membuat kerja harian," jelas Hafizuddin yang berniaga minuman di kawasan rumahnya di Kota Bharu. Star Foundation ditubuhkan pada tahun 2004 untuk melakukan kerja-kerja amal dan kebajikan di bawah Kumpulan Media Star Berhad dalam membantu meringankan beban komuniti yang memerlukan sumbangan. Ia merupakan salah satu inisiatif yang berterusan kepada golongan yang layak untuk menerima bantuan dari segi pendidikan, kesihatan dan kehidupan sosial. Manakala Yokuk merupakan sebuah pertubuhan badan bukan kerajaan (NGO) bagi membantu meningkatkan kualiti hidup golongan orang kurang upaya. Pelbagai aktiviti seperti terapi, kebajikan, kumpulan sokongan dan aktiviti kemasyarakatan telah dijalankan dan sehingga kini lebih 3,300 orang kurang upaya di seluruh Kelantan telah berdaftar dengan yayasan ini.