PENGERUSI AirAsia Group Bhd (AirAsia), Datuk Kamarudin Meranun dan Ketua Eksekutif (CEO) Kumpulan AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes mengumumkan peletakan jawatan eksekutif mereka dalam syarikat untuk tempoh dua bulan. Menerusi pengumuman itu, AirAsia berkata, pengunduran yang berkuat kuasa serta-merta itu hanya untuk tempoh dua bulan atau lebih, mengikut apa yang dirasakan sesuai oleh syarikat berkenaan. Namun, jawatankuasa Lembaga Pengarah Bebas Bukan Eksekutif yang dibentuk oleh Lembaga Pengarah AirAsia membuat keputusan mengekalkan Kamarudin dan Tony sebagai penasihat syarikat dalam tempoh berkenaan. Jawatan Kamarudin dan Tony juga akan ditukar sebagai ahli lembaga pengarah bukan eksekutif AirAsia. Baru-baru ini, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan ada menjalankan siasatan berhubung dakwaan rasuah melibatkan dua eksekutif AirAsia dengan Aribus seperti yang dilaporkan oleh media United Kingdom. Menurut The Telegraph, Airbus didakwa membayar RM204 juta dan menawarkan RM225 juta lagi untuk menaja sebuah pasukan sukan yang mempunyai kaitan dengan dua individu berpengaruh di AirAsia dan AirAsiaX. Namun AirAsia menerusi kenyataan pada Sabtu menafikan penglibatan itu. - The Star.