SEORANG lelaki berusia 41 tahun dari Selangor menjadi rakyat Malaysia pertama dijangkiti koronavirus (2019-nCoV). Lelaki berkenaan berlepas ke Singapura untuk menghadiri persidangan dengan delegasi antarabangsa termasuk beberapa peserta dari China. Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata lelaki itu mempunyai sejarah kunjungan ke Singapura dan kementerian telah menghubungi republik itu untuk pengesanan kontak. Dia menghadiri mesyuarat dari 16 hingga 23 Januari dan kembali ke Malaysia pada hari terakhir persidangan, kata Dr Dzulkefly. Pada 29 Januari, dia mendapatkan rawatan dari sebuah hospital swasta kerana batuk dan demam sebelum dirujuk ke Hospital Sungai Buloh pada 2 Februari. Lelaki berkenaan adalah seorang daripada dua kes terbaharu dilaporkan di Malaysia. Kes yang lain membabitkan seorang lelaki China berusia 61 tahun yang tiba di Malaysia pada 18 Januari dan mula mengalami demam pada 23 Januari. Dia menerima rawatan pesakit luar di sebuah hospital swasta dan diletakkan di bawah pemantauan di rumah selama dua minggu. Pada 2 Februari, demamnya berterusan dan dia dimasukkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk menerima rawatan lanjut dan ujian makmal pada hari berikutnya mengesahkan dia positif jangkitan 2019-nCoV. Dia sedang dirawat di wad pengasingan dan berada dalam keadaan stabil. Dengan dua kes terbaru ini, menjadikan jumlah mangsa positif jangkitan itu seramai 10 orang.