suria

Rakyat Malaysia pertama positif koronavirus tak ke Kelantan semasa Tahun Baharu Cina

Dr Dzulkefli menafikan warganegara Malaysia pertama yang disahkan positif koronavirus tidak mengunjungi Kelantan ketika sedang menunjukkan gejala penyakit berkenaan. Foto: The Star

LAPORAN media yang mengatakan warganegara Malaysia pertama yang disahkan positif koronavirus mengunjungi Kelantan ketika sedang menunjukkan gejala penyakit berkenaan, adalah tidak tepat.

Perkara tersebut disahkan oleh Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.

ARTIKEL BERKAITAN: Rakyat Malaysia pertama positif koronavirus dianggar telah berjumpa 100 individu 

"Pertamanya, yang Kelantan itu tidak benar... tidak betul," kata Dr Dzulkefli dalam sidang media di kementeriannya di Putrajaya, pada Khamis.

Terdahulu, Sin Chew Daily melaporkan bahawa pesakit berusia 41 tahun itu dikatakan telah pergi ke Sungai Petani dan Kelantan bersama isterinya, selepas pulang dari menghadiri mesyuarat di Singapura.

Kunjungan itu sempena meraikan perayaan Tahun Baharu Cina.

Ahkbar itu melaporkan, ketika itu pesakit sudah menunjukkan gejala berkemungkinan dijangkiti koronavirus, dan dia mendapatkan rawatan pada 23 Januari lalu di sebuah hospital swasta.

Ia juga melaporkan, pesakit kemudian pergi ke Kelantan untuk melawat keluarga sebelah isterinya.

Menurut akhbar itu lagi, lelaki itu didakwa mempunyai kontak dengan tidak kurang dari 100 orang sepanjang membuat perjalanan di Malaysia dalam tempoh perayaan.

Sementara itu dalam sidang media yang sama, Dzulkefly memaklumkan pertambahan dua kes baharu 2019 novel koronavirus (2019-nCoV) pada Khamis menjadikan keseluruhannya 14 disahkan positif, di mana salah satu kes melibatkan ahli keluarga kepada rakyat Malaysia pertama yang dijangkiti virus itu.

Pesakit merupakan adik perempuan kepada  kes warganegara Malaysia yang dilaporkan pada 4 Februari lalu.

"Kes terbaru ini mempunyai kontak langsung dengan indeks kes semasa beliau pulang untuk sambutan Tahun Baharu Cina di kampungnya pada 23 Januari 2020.

"Beliau mula mengalami gejala demam dan sakit tekak pada 1 Februari dan batuk pada 4 Februari. Beliau telah mendapatkan rawatan dari sebuah klinik swasta bagi gejala yang dialaminya.

"Sebaik ahli keluarganya (abang), iaitu indeks kes dikesan positif 2019-nCoV, beliau kemudiannya telah dijejaki oleh pihak Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Kuala Muda dan sampel telah diambil dari beliau dan ahli keluarga lain. 

"Ujian pengesanan dan pengesahan 2019-nCoV yang dijalankan ke atasnya telah dilaporkan positif pada 5 Februari, manakala bagi lain-lain ahli keluarga adalah negatif," katanya.

Pesakit wanita itu kini telah dimasukkan ke wad isolasi di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar dan berada dalam keadaan stabil.

Menurut Dzulkefly, aktiviti pengesanan kontak masih dijalankan dan akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.





Kelantan, Malaysia, koronavirus

Artikel Lain