suria

Seorang lagi pelancong Wuhan positif koronavirus, ditahan di Hospital Permai, JB

Ketua Pegawai Eksekutif Rapidrail, Abdul Hadi Amran (kanan) melihat pekerja Pembersihan MRT Bandar Tun Hussein Onn membersihkan fasiliti di sekitar MRT ini pada Pemeriksaan Kesihatan Kapten Bas Rapid KL, pada Jumaat bagi mencegah penyebaran koronavirus. Foto Bernama

SEORANG lagi disahkan positif koronavirus, menjadikan jumlah keseluruhan yang dijangkiti virus itu di negara ini seramai 15 orang.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, pertambahan kes baharu 2019 novel koronavirus (2019-nCoV) membabitkan pelancong wanita warga China berumur 59 tahun dari Wuhan.

"Dia bersama-sama dengan suami, anak lelaki dan menantunya tiba di Singapura pada 17 Januari. Mereka kemudiannya pergi ke Johor Bahru pada 21 Januari.

ARTIKEL BERKAITAN: Rakyat Malaysia pertama positif koronavirus tak ke Kelantan semasa Tahun Baharu Cina

ARTIKEL BERKAITAN: Warga Kanada dilapor pengsan di KLCC disahkan negatif koronavirus, dibenar keluar wad HKL

"Ujian pengesanan dan pengesahan 2019-nCoV yang dijalankan ke atasnya telah dilaporkan positif pada 6 Februari. Dia telah dimasukkan ke wad isolasi di Hospital Permai, Johor Bahru dan berada dalam keadaan stabil," katanya pada sidang media, petang Jumaat.

Dzulkefly berkata, pesakit itu mengalami gejala demam pada 26 Januari lalu dan sepatutnya dijadualkan pulang ke China pada 4 Februari dengan menaiki penerbangan dari Johor Bahru ke Guangzhou.

"Tetapi dia telah menangguhkannya kerana kurang sihat. Namun, anak lelaki dan menantunya telah pulang ke China pada tarikh tersebut. 

"Pada kebanyakan masa, dia hanya berada di tempat penginapannya di Johor Baharu.  

"Pada 5 Februari, dia masih tidak sihat setelah ubatan yang diambilnya habis. Pihak Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) telah menerima makluman daripada pihak pengurusan tempat penginapannya pada hari yang sama dan beliau telah dirujuk ke hospital bagi menerima rawatan selanjutnya," katanya.

Pelanggan dilihat memakai topeng muka yang diberi percuma oleh peruncit perkakas rumah MR.D.I.Y ketika mengunjungi outlet MR.D.I.Y di Pusat Membeli Belah Mid Valley, pada Khamis. Foto Bernama

Tambah Dzulkefly, suami pesakit yang berusia 66 tahun juga diletakkan di wad isolasi hospital yang sama. 

"Dia bagaimanapun tidak bergejala. Sampel telah diambil dan menunggu keputusan makmal," katanya.

Dzulkefly bagaimanapun tidak menyatakan secara khusus lokasi penginapan mereka sepanjang berada di Johor Bahru.

"Bukan hotel... satu penginapan," tegasnya sambil menambah saringan kesihatan juga dilakukan terhadap mereka yang berada di tempat penginapan berkenaan.

Dengan pertambahan satu kes baharu itu, jumlah koronavirus yang dilaporkan sehingga Jumaat adalah sebanyak 15 kes, iaitu tujuh kes dalam kalangan kes pesakit di bawah pemantauan (PUI) jangkitan 2019-nCoV, enam dalam kalangan kontak rapat dan dua kes rakyat Malaysia yang dibawa pulang dari Wuhan, China dengan misi bantuan kemanusiaan. 

"Daripada jumlah tersebut, 11 kes adalah warga China dan empat warga Malaysia," katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Lain