suria

Terpelanting beberapa meter, dua sahabat dilanggar pemandu mabuk temui ajal bersama

Keadaan kereta dipandu seorang wanita yang remuk teruk selepas melanggar dua sahabat awal pagi Selasa.

AJAL bersama-sama.

Itulah yang menimpa dua sahabat selepas motosikal ditunggangi mereka dilanggar kereta dipandu wanita disyaki dalam keadaan mabuk di Km13, Lebuhraya Lingkaran Luar Butterworth (BORR) menghala Sungai Dua, Pulau Pinang, awal pagi Selasa.

ARTIKEL BERKAITAN: Hancur gerai burger dirempuh pemandu mabuk, peniaga bagai ada ‘sixth sense’ sempat peluk anak 5 tahun – “Jarak kereta hanya sejengkal, tak dapat bayangkan kalau…”

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara SPU ACP Noorzainy Mohd Noor berkata dalam kejadian kira-kira 2.30 pagi itu, Muhamad Syaiful Hilmi Rosidi, 21, dan rakannya Muhammad Amin Najmi  Azaman, 19, yang berasal daripada Paya Keladi Hujung, Kepala Batas, meninggal dunia di tempat kejadian.

“Motosikal yang dinaiki dua sahabat itu dilanggar dari belakang oleh wanita yang memandu kereta Toyota Vios itu menyebabkan mereka terpelanting beberapa meter... mayat dua lelaki itu dihantar ke Hospital Kepala Batas untuk bedah siasat," katanya pada Selasa.

Noorzainy berkata siasatan awal mendapati wanita berumur 47 tahun yang bekerja sebagai jurujual itu dalam perjalanan pulang ke rumah ibunya di Kepala Batas dan mengaku baru balik berhibur daripada sebuah pusat karaoke di Jalan Raja Uda di Butterworth.

"Ujian awal mendapati jurujual itu memandu di bawah pengaruh alkohol namun ujian air kencing mendapati dia negatif dadah," katanya.

Menurutnya wanita itu kini direman untuk siasatan.

Noorzainy meminta kerjasama orang ramai yang melihat dan mempunyai maklumat berhubung perlanggaran itu menghubungi pegawai penyiasat Inspektor Nur Syafinaz Abdul Aziz di talian 018-2881424 atau balai polis berdekatan.-- BERNAMA

mabuk, sahabat, alkohol, ajal

Artikel Lain