suria

Tuduhan rasuah AirAsia, Airbus: SPRM sedang tunggu maklumat dari UK

Datuk Kamarudin Meranun (kanan) dan Tan Sri Anthony Francis Fernandes telah melepaskan jawatan eksekutif mereka dalam AirAsia Group Bhd pada 4 Februari lalu.

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedang menunggu pihak berkuasa dari Britain menyerahkan dokumen dan maklumat mengenai tuduhan rasuah melibatkan AirAsia dan Airbus.

"Kami akan menunggu dokumen itu, kami telah menghubungi mereka dan kami sedang menunggu mereka untuk memberi maklum balas," kata Ketua Pesuruhjayanya, Latheefa Koya kepada pemberita pada Isnin.

ARTIKEL BERKAITAN: Kamarudin, Tony Fernandes umum lepas jawatan eksekutif dalam AirAsia

Latheefa berkata SPRM tidak tahu bila Serious Fraud Office (SFO) United Kingdom (UK) akan memberikan mereka dokumen.

Baru-baru ini menurut portal The Telegraph, Airbus didakwa membayar RM204 juta dan menawarkan RM225 juta lagi untuk menaja sebuah pasukan sukan yang mempunyai kaitan dengan dua individu berpengaruh di AirAsia dan AirAsiaX.

Namun AirAsia menerusi kenyataan pada Sabtu menafikan penglibatan itu.

SPRM telah memulakan siasatan mengenai dakwaan tersebut dan berhubung dengan pihak berkuasa UK.

Pada 4 Februari, AirAsia Group Bhd berkata Datuk Kamarudin Meranun dan Tan Sri Anthony Francis Fernandes telah melepaskan jawatan eksekutif mereka dan satu jawatankuasa telah dibentuk untuk mengkaji semula dakwaan terhadap mereka.

Kamarudin adalah pengerusi eksekutif syarikat penerbangan dan Tony Fernandes adalah ketua pegawai eksekutif (CEO). - THE STAR

SPRM, UK, AirAsia, Airbus

Artikel Lain