suria

Lelaki ditetak selepas bawa keluarga makan di rumah rakannya yang kesepian - “Dia beritahu boleh cakap dengan tuhan, nampak dajal”

Lelaki warga Indonesia yang disyaki membunuh seorang buruh awal pagi Rabu, ditahan bagi membantu siasatan kes itu. -fotoBERNAMA

ISTERI kepada buruh yang maut ditetak awal pagi Rabu tidak menyangka niat suaminya untuk menemani suspek berakhir dengan tragedi yang memilukan.

Rosnah Muhamed, 34, berkata suspek sering mengadu kepada suaminya, Mohd Zukanain Abdul Aziz, 39, bahawa dia kesepian kerana tinggal berseorangan di rumah.

"Jadi suami bawa saya dan lima anak ke rumah suspek untuk menemaninya makan malam, malah saya yang memasak hidangan,” katanya ketika ditemui pemberita di perkarangan Unit Forensik Hospital Dungun, Rabu.

"Selepas makan malam, saya dan suami serta dua anak duduk dalam kereta kerana saiz rumah suspek kecil manakala tiga lagi anak saya duduk di beranda rumah sebelum suspek menebas belukar di bukit berdekatan rumahnya dalam pukul 11 malam," tambahnya.

Rosnah berkata tidak lama selepas itu suspek bercerita kepada suaminya yang dia boleh bercakap dengan tuhan, boleh nampak dajal, dan macam-macam lagi benda ghaib, yang menyebabkan suaminya bertanya kepada suspek sama ada dia mempunyai masalah untuk dikongsikan.

"Tetapi dia kata tak ada masalah...suami saya tak sedap hati panggil anak untuk balik. Tiba-tiba dia jadi macam semakin pelik, suami ada pegang parang dia pun ada pegang parang...dia meluru ke arah suami dan libas parang di tengkuk.

“…saya terus hubungi sepupu nak minta tolong tapi dia meluru ke arah saya pula namun sempat tahan dengan tangan," katanya yang turut menerima beberapa jahitan di pergelangan tangan kirinya akibat tetakan itu.

Dalam kejadian 2.45 pagi Rabu, Mohd Zukanain maut manakala Rosnah cedera akibat ditetak rakan kenalan mereka yang juga buruh warga Indonesia dalam kejadian di rumah kongsi ladang kelapa sawit di Kampung Beril dekat Paka.

Suspek yang berusia 29 tahun berjaya diberkas polis kurang dari enam jam selepas menerima maklumat mengenai kejadian itu dan polis akan mendapatkan perintah reman ke atas suspek di Mahkamah Majistret Dungun, pagi Khamis bagi siasatan lanjut. -Bernama

tetak, rakan, buruh, libas

Artikel Lain