JIKA anda berkunjung ke pantai, lebih baik berwaspada dan sama sekali tidak menyentuh obor-obor beracun yang dikenali sebagai portuguese man o' war atau nama saintifiknya physalia cnidaria. Obor-obor ini ditemui terdampar di Pantai Pulau Kekabu, di Marang oleh anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM) Marang ketika sedang menjalani Latihan Penyelamat Pantai APM, dua hari lalu. Pengarah Perikanan Terengganu, Zawawi Ali berkata, hidupan laut dalam spesies obor-obor yang dikategorikan dalam filum cnidaria itu mempunyai ribuan sel penyengat berbisa. "Physalia adalah haiwan yang dikategorikan dalam filum cnidaria bersama-sama obor-obor di mana ia tidak boleh berenang dan bergantung kepada arus. "Haiwan ini mempunyai ribuan sel penyengat yang boleh menyebabkan rasa sakit melampau jika terkena pada badan," katanya. Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai supaya menjauhkan diri, tidak menyentuh atau berenang di kawasan yang terdapat spesies tersebut. "Sama seperti obor-obor biasa, elakkan diri daripada terkena pada badan kerana ia akan menyebabkan kegatalan. "Setakat ini tiada antivenom untuk merawat bisa yang disebabkan sengatan physalia. "Rawatan yang ada adalah berbentuk ubat penahan sakit dan melegakan simptom," katanya kepada Sinar Harian. Beliau berkata, haiwan tersebut biasanya ditemui di Lautan Pasifik, namun sejak kebelakangan ini ia turut dikesan di perairan Thailand, Kuantan, Pulau Tioman dan Sabah. "Sekiranya hidupan ini ada ditemui di Marang dan Setiu, bermakna di perairan Kuala Terengganu pun berkemungkinan ada spesies haiwan yang sama," katanya.