MAYSRAKAT tidak perlu risau untuk bergaul dengan pesakit Covid-19 yang telah pulih atau individu yang disahkan negatif selepas dikuarantin, kerana mereka bebas daripada virus berbahaya itu. Pegawai Perubatan Penyelaras Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Seremban, Dr Nur Adibah Shaharul berkata individu yang disahkan negatif dua kali berturut-turut setelah menjalani ujian, adalah bebas daripada virus berkenaan. ARTIKEL BERKAITAN: 13 pesakit sembuh Covid-19 dibenar keluar hospital "Masyarakat perlu faham pesakit yang telah sembuh daripada Covid-19 atau hasil ujian negatif dua kali berturut-turut, mereka tidak membawa virus ini, tak ada yang perlu dirisaukan oleh masyarakat," katanya kepada Bernama ketika ditemui di pusat pemantauan (HSC) di Akademi Kepimpinan Pendidikan Tinggi (AKEPT) di Nilai, Negeri Sembilan pada Selasa. Seramai 107 individu terdiri daripada rakyat Malaysia dan ahli keluarga yang dibawa pulang dari Wuhan, China pada 4 Februari lalu susulan wabak Covid-19, telah dibenarkan keluar dari pusat pemantauan berkenaan hari ini setelah tamat tempoh kuarantin. Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata sampel ulangan bagi mereka telah disahkan negatif jangkitan Covid-19. Mereka yang dibenarkan pulang itu termasuk dua kes yang sebelum ini positif Covid-19 dan dirawat di Hospital Tuanku Ja'afar, Seremban. Dr Nur Adibah, yang juga berperanan sebagai penyelaras pasukan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi operasi pusat pemantauan (HSC) itu, berkata lokasi itu akan melalui proses pembersihan secara klinikal terutama bilik yang didiami mereka. Katanya, ini termasuk disinfeksi pada setiap koridor bangunan, permukaan perabot, tilam, langsir dan sebagainya. Kumpulan 107 orang itu dibawa pulang ke tanah air dengan pesawat khas melalui misi bantuan kemanusiaan yang dilaksanakan kerajaan Malaysia. Mereka kemudiannya dibawa ke AKEPT untuk menjalani pemantauan selama 14 hari, mulai 4 Februari lepas.- BERNAMA.