suria

“Kita akan teruskan perjuangan...” - Azmin

Mohamed Azmin semasa beredar keluar dari Hotel Sheraton di Petaling Jaya, Ahad malam. Foto SHAARI CHEMAT/The Star

SELEPAS menunggu sejak pagi susulan desas-desus mengenai pembentukan gabungan kerajaan baharu, Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali akhirnya bersuara.

Beliau yang juga Menteri Hal Ehwal Ekonomi berkata, pihaknya akan meneruskan perjuangan agenda reformasi untuk rakyat dan negara.

"InsyaAllah kita akan teruskan perjuangan untuk melaksanakan agenda reformasi dan membangunkan negara dan memberikan kemakmuran kepada semua rakyat Malaysia," katanya secara ringkas kepada pemberita selepas majlis makan malam bersama 131 ahli Parlimen di Hotel Sheraton di Petaling Jaya, Ahad malam.

ARTIKEL BERKAITAN: Anwar akui pengkhianatan oleh rakan Pakatan... Bersatu, segelintir dari PKR

ARTIKEL BERKAITAN: Warkah Mufti WP untuk Malaysia ketika desas-desus gabungan kerajaan baharu

Azmin bagaimanapun tidak menjawab soalan pemberita mengenai Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mengatakan bahawa berlakunya pengkhianatan dalam Pakatan Harapan (PH).

Terdahulu, Anwar ketika menjawab pertanyaan di kediamannya di Bukit Segambut, Kuala Lumpur mengakui terdapat cubaan oleh pihak tertentu untuk menjatuhkan kerajaan PH.

"Sekarang kita sedang menunggu maklumat lanjut tetapi ada cubaan untuk menjatuhkan kerajaan Pakatan yang melibatkan bekas rakan-rakan kita Bersatu dan segelintir yang khianat dari PKR," kata Anwar.

Makan malam yang berlangsung selama kira-kira dua jam itu dihadiri ahli Parlimen dari enam parti iaitu Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), PKR, Warisan, Gabungan Parti Sarawak, Umno dan PAS.

Pada Ahad, lima mesyuarat diadakan serentak oleh beberapa parti termasuk Bersatu, Umno di beberapa lokasi dan dilaporkan beberapa pemimpin yang setia dengan Azmin turut dilihat bermesyuarat di sebuah hotel di Petaling Jaya.

Desas-desus mengenai pembentukan gabungan kerajaan baharu hangat diperkatakan susulan kenyataan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pada Sabtu yang menegaskan peralihan kuasa perdana menteri akan berlaku selepas Sidang Kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia-Pasific (APEC) hujung tahun ini.

Sebelum ini, beberapa pihak mendesak Majlis Presiden PH memutuskan tarikh peralihan kuasa Perdana Menteri bagi mengekalkan perkara itu terus jadi spekulasi yang menjejaskan kestabilan politik negara.

Mengikut rekod, PH dan sekutunya Warisan mempunyai 138 kerusi di Dewan Rakyat.

Namun, sekiranya Bersatu mengumumkan untuk meninggalkan komponen parti itu, PH akan kehilangan 26 kerusi, meninggalkan kerajaan dengan hanya 112 kerusi.

Artikel Lain