DATUK Seri Anwar Ibrahim tiba di ibu pejabat pentadbiran persekutuan untuk bertemu dengan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad. Presiden PKR itu dilihat memasuki bangunan Putra Perdana yang menempatkan Pejabat Perdana Menteri (PMO) kira-kira pukul 9.26 pagi Isnin. Namun, Dr Mahathir masih belum tiba di pejabatnya. Difahamkan, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail tiba beberapa minit sebelum itu. Turut dilihat pergi ke bangunan Putra Perdana ialah Menteri Kewangan dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng. Difahamkan Menteri Pertahanan dan Presiden Amanah, Mohamad Sabu juga akan menemui Dr Mahathir. Desas-desus mengenai kemungkinan penyusunan semula landskap politik negara berterusan pada Isnin dengan beberapa peristiwa akan berlaku. Antaranya Anwar dan Dr Wan Azizah dijadualkan menghadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pukul 2 petang Isnin. Satu lagi pertemuan tergempar DAP akan diadakan di ibu pejabat parti itu juga hari ini.