suria

“Ini kali pertama perdana menteri letak jawatan atas prinsip tegakkan integriti melawan rasuah” - DAP akan syor Majlis Presiden PH calonkan Tun M kekal PM

Lim Guan Eng berkata DAP mahu mencadangkan agar Dr Mahathir dilantik semula sebagai perdana menteri. - foto Bernama

PARTI DAP menyuarakan pendirian menyokong Tun Dr Mahathir Mohamad untuk kekal menjadi perdana menteri.

Menurut Setiuasaha Agungnya, Lim Guang Eng, pihaknya menolak keras perbuatan khianat segelintir pemimpin Pakatan Harapan (PH) yang mahu menubuhkan kerajaan baharu menerusi pintu belakang.

ARTIKEL BERKAITAN: Amanah sokong penuh Tun M kekal sebagai perdana menteri - Mat Sabu

ARTIKEL BERKAIATN: Senarai 11 ahli PKR umum keluar parti

"DAP mengesyorkan kepada Majlis Presiden PH untuk mencalonkan Tun Dr Mahathir terus kekal sebagai perdana menteri Malaysia supaya PH dapat terus memenuhi dan menyampaikan janji dalam manifesto Pakatan Harapan," ujarnya menerusi sidang media pada Isnin petang.

Dalam pada itu, Guan Eng turut berkongsi kisah pertemuannya dengan Dr Mahathir pada pagi Isnin.

Jelasnya, Dr Mahathir menolak usaha segelintir pemimpin yang seolah-olah membelakangkan mandat diberi rakyat dalam usaha membentuk kerajaan baharu.

"Tun Mahathir sebagai Perdana Menteri Malaysia menentang usaha khianat ini untuk cuba menolak mandat rakyat yang diberikan pada Pakatan Harapan dengan meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri dan Pengerusi Bersatu.

"Saya berjumpa Tun pagi ini dan diberitahu sesuatu luar dugaan apabila memaklumkan hasrat untuk meletak jawatan.

"Kami menolak kerjasama dengan Umno kerana pemimpin mereka terlibat amalan rasuah. Ini adalah kali pertama perdana menteri bersedia meletak jawatan atas prinsip menegakkan integriti melawan rasuah," ujarnya.

Tambah Guan Eng lagi, pertemuan dengan Dr Mahathir disifatkannya sebagai penuh beremosi namun enggan mengulas lanjut mengenainya.

Artikel Lain