suria

Tugas TPM, menteri, timbalan menteri dan setiausaha politik terhenti

Dr Mahathir menyerahkan surat peletakan jawatannya kepada Yang di-Pertuan Agong kira-kira pukul 1 tengah hari tadi.

SELEPAS Tun Dr Mahathir Mohamad dilantik sebagai perdana menteri interim pada petang Isnin, teka-teki mengenai kedudukan anggota pentadbiran negara juga sudah terjawab.

Menurut Ketua Setiausaha Negara (KSN) Datuk Seri Mohd Zuki Ali, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah telah berkenan membatalkan pelantikan menteri-menteri atas nasihat perdana menteri.

ARTIKEL BERKAITAN: Agong lantik Dr Mahathir sebagai perdana menteri interim

Keputusan itu dibuat sebagaimana yang diperuntukkan dalam Perkara 45(5) Perlembagaan Persekutuan selaras dengan peletakan jawatan perdana menteri.

"Sehubungan itu, tugas-tugas Anggota Pentadbiran (merangkumi Timbalan Perdana Menteri, Menteri, Timbalan Menteri dan Setiausaha Politik) adalah terhenti pada tarikh yang sama," ujarnya menerusi satu kenyataan.

Terdahulu, baginda telah berkenan melantik Dr Mahathir sebagai perdana menteri interim sementara menunggu pelantikan perdana menteri baharu.

Dr Mahathir menyerahkan surat peletakan jawatannya kepada Yang di-Pertuan Agong kira-kira pukul 1 tengah hari tadi.

Peletakan jawatan itu dipercayai ada kaitan dengan pergolakan politik yang berlaku dalam Pakatan Harapan (PH) sejak mesyuarat Majlis Presiden Jumaat lalu.

Artikel Lain