PERDANA Menteri interim Tun Dr Mahathir Mohamad mengadakan pertemuan dengan ketua-ketua parti politik, Selasa. Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh pejabat beliau, pertemuan tersebut melibatkan Datuk Patinggi Abang Johari Openg (Gabungan Parti Sarawak), Tan Sri Muhyiddin Yassin (Bersatu), Datuk Seri Anwar Ibrahim (PKR), Lim Guan Eng (DAP), Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi (Umno), Datuk Seri Abdul Hadi Awang (PAS) dan Mohamad Sabu (Amanah). ARTIKEL BERKAITAN: “Satu lagi hari biasa di pejabat,” kata perdana menteri interim Selain itu Dr Mahathir turut mengadakan pertemuan dengan bekas Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Azmin Ali. Pada Rabu, beliau dijangka bertemu Presiden Parti Warisan Datuk Seri Shafie Apdal. Menerusi pertemuan itu, Dr Mahathir dikatakan telah mencadangkan penubuhan kerajaan perpaduan di mana beliau selaku perdana menteri berhak memilih pemimpin tanpa mengira parti untuk menganggotai Kabinet.