suria

Covid-19: Amaran KKM, penyebar maklumat palsu akan disiasat!

Kementerian Kesihatan Malaysia telah mengesahkan khabar angin yang tersebar adalah palsu.

TULAR beberapa pesanan berantai melalui aplikasi WhatsApp yang memberi amaran kepada orang awam supaya menjauhi tempat-tempat dijangkiti wabak koronavirus (Covid-19).

Antara tempat yang disenaraikan di dalam pesanan tersebut adalah pusat bowling dan restoran makanan segera di sebuah pusat membeli belah terkenal di Lembah Klang.

Secara tidak langsung, ia telah mencetuskan situasi panik dalam kalangan warga kota.

ARTIKEL BERKAITAN: Covid-19: 14 individu disahkan positif, Malaysia catat 50 kes setakat hari ini

Namun, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) tampil menyangkal kesahihan kandungan mesej tersebut.

"Jangan tularkan berita atau info palsu. Anda boleh disiasat," ujar KKM melalui sebuah kenyataan ringkas di laman sosial Twitter.

Malahan, menurut KKM, perbuatan meminta orang ramai mengelak ke hospital adalah tidak wajar.

"Hospital telah menjalankan kerja-kerja pembasmian kuman dan wad ER (kecemasan) telah dibuka pada hari yang sama," ujar kenyatan tersebut.

Dalam pada itu, rata-rata netizen di ruangan komen bersetuju dengan tindakan pantas KKM yang menafikan mesej berantai itu.

"Apa-apa pun tunggu keputusan dari @KKMPutrajaya, jangan memandai buat cerita dan sebar benda tak pasti," ujar salah seorang pengguna Twitter.

"Seronok eh buat cerita palsu? Korang dapat apa? Duit eh? Tak de kerja lain ke apa? Serabut manusia jenis macam ni," tambah pengguna lain.

Sebelum ini, Presiden Persatuan Seniman Malaysia (Seniman), Zed Zaidi didakwa di Mahkamah Kuala Lumpur pada 31 Januari lalu gara-gara berita palsu mengenai koronavirus.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) telah mengeluarkan notis penyebaran berita dan kandungan palsu adalah satu kesalahan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara setahun.

Orang ramai boleh talian di atas bagi mengetahui perkembangan semasa mengenai isu Covid-19. Foto: KKM

coronavirus, Covid-19, berita palsu

Artikel Lain