suria

“Tak mungkin saya dapat virus Covid-19 semasa di Shanghai” - Pengerusi UDA

Hisham menegaskan tidak mustahil dia mendapat virus itu semasa kunjungan ke Shanghai pertengahan Januari lalu.

PENGERUSI UDA Holdings Bhd Datuk Hisham Hamdan mendakwa beliau tidak mendapat jangkitan koronavirus (Covid-19) semasa berkunjung ke Shanghai, China.

Ini kerana dakwanya dia pulang Malaysia sebelum ada kes dilaporkan di wilayah itu.

Namun beliau mengetahui gelombang kedua wabak baharu itu di negara ini dikaitkan dengan dirinya.

ARTIKEL BERKAITAN: Semua 7 kes terbaharu positif Covid-19 ada kontak kes ke-26

"Gelombang kedua kes Covid-19 di Malaysia dikaitkan dengan saya, yang saya fikir jelas.

"Tetapi dikaitkan dengan saya dan (jangkitan) berasal dari saya adalah dua perkara yang berbeza.

"Kementerian Kesihatan masih berusaha keras dan wajar dipuji atas usaha bagi memastikan tiada lagi kes di negara ini," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Hisham juga berkata beliau pulang selepas menghadiri sebuah persidangan di Shanghai pada 17 Januari sebelum kes pertama dilaporkan di negara itu pada 20 Januari lalu.

Justeru berdasarkan penyelidikan saintifik dan perubatan virus itu setakat ini, Hisham berkata tidak mungkin dia mendapat virus itu semasa kunjungannya ke Shangai pada pertengahan Januari lalu.

Pada Khamis, Kementerian Kesihatan melaporkan lima kes baharu dicatat sekali gus menjadikan 55 kes keseluruhan setakat ini.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, kesemua kes baharu itu mempunyai kaitan dengan kes ke-26 yang dilaporkan pada Selasa lalu.

"Kesemua kes baharu ini berhubung kait dengan satu kluster Covid-19 yang telah dikenal pasti sebelum ini yang melibatkan kes positif ke-26.

"Kes-kes ini merupakan kontak rapat kepada kes positif Covid-19 dalam kluster tersebut.

"Sehingga kini, jumlah kes positif bagi kluster ini adalah sebanyak 26 kes," ujarnya.

Menurut Dr Noor Hisham lagi, siasatan dan pengesanan kontak bagi kluster tersebut masih lagi diteruskan.

Artikel Berikut

Artikel Lain