suria

Ahmad Zahid tak mahu jawatan dalam Kabinet

Ahmad Zahid tak mahu jawatan dalam Kabinet.

PRESIDEN Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata beliau memutuskan agar dirinya tidak dilantik dalam kabinet yang akan diumumkan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

"Sebagai Pengerusi Barisan Nasional (BN) dan Presiden Umno, saya memutuskan untuk menawarkan diri agar tidak dilantik dalam sebarang jawatan kabinet yang akan diumumkan nanti," katanya ketika berucap pada perasmian berkelompok persidangan Umno cawangan-cawangan empat peringkat dalam Bahagian Bagan Datuk Tahun 2020 di Kompleks Umno Bagan Datuk pada Sabtu.

Selain itu, Ahmad Zahid yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk berkata Umno dan BN telah mengemukakan cadangan senarai nama sebagai anggota kabinet kepada perdana menteri mengikut beberapa asas termasuk peratusan, nisbah atau kadar sumbangan dalam pembentukan kerajaan baharu.

"Keutamaan cadangan nama yang saya kemukakan berdasarkan kepada hierarki pemegang jawatan utama dalam Umno Malaysia, BN...muka baharu, tokoh muda, ahli profesional dan ahli teknokrat turut saya cadangkan. Tokoh dari BN dan Friends of BN dari Sabah dan Sarawak juga saya kemukakan.

"Umno dan BN beri kepercayaan kepada perdana menteri untuk lantikan yang akan dibuat. Kita juga berikan kepercayaan kepada perdana menteri untuk letak mereka yang berpengalaman di portfolio atau kementerian penting.

"Saya yakin perdana menteri ada pertimbangan wajar untuk lantik mereka yang layak, berwibawa untuk bantu beliau dalam barisan kabinet," katanya.

Selain itu, Ahmad Zahid berkata peluang juga perlu diberikan kepada mereka yang menghadapi pertuduhan mahkamah untuk membersihkan diri melalui proses di mahkamah dan tidak menggugurkan kes melalui keputusan Peguam Negara.

Ahmad Zahid yang juga bekas timbalan perdana menteri berdepan 47 pertuduhan dengan 12 daripadanya bagi kes pecah amanah, lapan tuduhan rasuah dan 27 bagi pengubahan wang haram membabitkan puluhan juta ringgit dana milik Yaysan Akalbudi. - BERNAMA

Ahmad Zahid Hamidi, Umno, Kabinet

Artikel Berikut

Artikel Lain