suria

MH370 kekal misteri selepas hilang 6 tahun lalu

Gambar fail menunjukkan seorang wanita menulis mesej sebagai tanda sokongan dan harapan berhubung kehilangan pesawat MH370. Foyo REUTERS/Damir Sagolj

HARI ini, 8 Mac, genap enam tahun pesawat Malaysia Airlines, penerbangan MH370 hilang daripada imbasan radar semasa dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Beijing, China. Walaupun lama telah berlalu, dunia masih buntu tentang apa yang sebenarnya berlaku terhadap pesawat itu.

Keluarga 239 penumpang dan anak kapal pesawat Boeing 777 itu masih menanti pengakhiran episod tragis itu.

Malah penemuan beberapa serpihan daripada sayap dan fiuselaj pesawat di Lautan Hindi, berhampiran perairan pantai barat daya Afrika, menimbulkan lebih banyak persoalan mengenai bagaimana pesawat berkenaan boleh menyimpang jauh dari laluan asalnya.         

Bagi mereka yang kehilangan orang tersayang yang berada di dalam pesawat itu, enam tahun merupakan tempoh penantian yang menyeksakan bagi mendapatkan jawapan dan setiap kali ulang tahun kehilangan pesawat itu, keluarga dan sahabat akan mengenang nasib mereka yang hilang itu.    

Pencarian secara meluas oleh pelbagai negara dijalankan sejurus selepas pesawat hilang dan pencarian khusus kemudiannya menggunakan peralatan laut dalam yang canggih selama berbulan-bulan juga gagal untuk menemui bukti yang mencukupi untuk merungkai teka-teki. 

Bagaimanapun, terdapat ura-ura pada awal tahun ini, usaha pencarian yang dihentikan itu akan disambung semula beberapa bulan lagi.

Mengulas mengenai perkembangan terkini itu, pakar penerbangan Universiti Kuala Lumpur (UniKL), Prof Dr Mohd Harridon Mohamed Suffian berkata, sebarang penyambungan semula pencarian perlu berdasarkan kepada petunjuk baharu yang boleh dipercayai, yang kini belum wujud.

"Kita perlu merancang pencarian bukannya memperkatakan (mengenai sentimen) dan terlibat dalam kerja sia-sia. Kita tidak boleh memberi harapan palsu yang boleh mendatangkan lebih banyak rasa tidak puas hati kepada waris," katanya kepada Bernama, baru-baru ini.

Setiap tahun, ada sahaja teori baharu muncul mengenai MH370 dan akan dipatahkan oleh pihak berkuasa, sama ada daripada Malaysia, China atau Australia, pihak yang terlibat dalam usaha mencari pesawat yang hilang itu.

Sehingga kini, Kementerian Pengangkutan Malaysia juga belum membuat sebarang keputusan untuk memulakan kembali pencarian memandangkan tiada petunjuk baharu. Kementerian juga perlu berunding dengan China dan Australia sekiranya keputusan dibuat untuk melancarkan semula pencarian.

Penyiasat penerbangan, Kapten (B) Abdul Rahmat Omar Tun Mohd Haniff berkata, Kementerian Pengangkutan tepat dalam keputusan tidak menjalankan pencarian tanpa bukti baharu.

Abdul Rahmat Omar, bekas pegawai penyiasat Tentera Udara Diraja Malaysia, mencadangkan dalam keadaan semasa, mungkin Kementerian Luar boleh bekerjasama dengan rakan-rakannya di Madagascar, La Reunion dan negara-negara barat daya Afrika.

"Kerajaan negara-negara yang terlibat boleh diminta untuk mengeluarkan notis memberitahu pihak berkuasa tempatan masing-masing di kawasan pantai sekiranya mereka menjumpai sebarang benda yang mungkin dikaitkan dengan pesawat malang itu.

"Ini mungkin membantu mengecilkan kawasan lokasi terakhir pesawat," katanya.

Sementara itu, Geostrategis Azmi Hassan berkata sebarang usaha pencarian akan melibatkan kos tinggi dan dengan itu perlu ada bukti baharu yang cukup kuat untuk membolehkan pencarian semula dilakukan.

“Bukti baharu yang diuar-uarkan baru-baru ini sebenarnya banyak berlandaskan model arus laut berbeza yang juga digunakan sebelum ini," katanya.

Ringkasnya, tanpa sebarang bukti baharu, misteri terbesar dalam sejarah penerbangan dunia ini akan kekal tidak terungkai. - Bernama

Artikel Lain

Tragis! Ibu maut disengat tebuan