suria

Zulkifli, lima yang lain angkat sumpah sebagai senator sebelum angkat sumpah jawatan kabinet

Enam senator mengangkat sumpah di hadapan Yang Dipertua Dewan Negara Tan Sri S.A. Vigneswaran di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur pada Selasa. Foto: Bernama

MUFTI  Wilayah Persekutuan Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri dan lima senator lain mengangkat sumpah di Dewan Negara pada Selasa, susulan pengumuman pelantikan mereka menyertai kabinet semalam.

Upacara angkat sumpah itu dilakukan di hadapan Yang Dipertua Dewan Negara Tan Sri S.A. Vigneswaran di Bangunan Parlimen di Kuala Lumpur.

Zulkifli akan memegang portfolio Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama).Sementara itu bekas Ketua Pegawai Eksekutif CIMB Group Holdings Bhd Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz akan menerajui Kementerian Kewangan.

ARTIKEL BERKAITAN: Akhirnya! Muhyiddin umum senarai Kabinet baharu, tiada TPM

Empat senator lain ialah Timbalan Presiden MCA Datuk Dr Mah Hang Soon (Timbalan Menteri Pendidikan I) dan Naib Presiden MCA Datuk Lim Ban Hong sebagai Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa.Setiausaha Eksekutif Barisan Nasional Datuk Dr Ahmad Masrizal Muhammad (Timbalan Menteri Alam Sekitar); dan Pengerusi Biro Perhubungan Antarabangsa ARMADA Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (Timbalan Menteri Belia dan Sukan).

Kesemua mereka dipilih buat kali pertama menerusi lantikan Yang di-Pertuan Agong bagi tempoh tiga tahun susulan pelantikan menyertai kabinet yang diumumkan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, pada Isnin.

Vigneswaran dalam ucapannya menzahirkan ucapan tahniah kepada enam senator berkenaan dan berharap mereka memberikan perkhidmatan terbaik demi kepentingan negara.

Vigneswaran dalam satu kenyataan pada Isnin menyatakan Majlis Angkat Sumpah enam senator itu adalah selaras dengan Peruntukan 4(3), Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Negara.

“Pelantikan ini telah mendapat perkenan oleh Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berdasarkan perenggan (b) Fasal (1) Perkara 45 Perlembagaan Persekutuan,” kata Vigneswaran.

Pada Isnin, Muhyiddin mengumumkan barisan kabinetnya yang merangkumi 31 menteri serta 38 timbalan menteri. - BERNAMA

senator, angkat sumpah, Mufti, Zulkifli

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain