suria

Peserta program Ijtimak Tabligh dihantar ke Hospital Sungai Buloh - “Bukan 'lari', tapi mungkin bosan menunggu”

Penutupan sementara di Masjid Sri Petaling untuk kerja-kerja disinfeksi ketika tinjauan hari ini.
Proses disinfeksi dijalankan berikutan seorang peserta perhimpunan tabligh yang diadakan di masjid itu pada 28 Feb, disahkan positif Covid-19. Foto: Bernama

LELAKI yang didakwa 'lari' dari Klinik Kesihatan Bukit Naga di Seksyen 32, Shah Alam pada Khamis selepas disyaki dijangkiti Covid-19 berkemungkinan bertindak sedemikian disebabkan proses mendapatkan rawatan agak lambat.

Ketua Polis Selangor Datuk Noor Azam Jamaludin berkata pihaknya ada menerima laporan mengenai lelaki berkenaan daripada pihak klinik kesihatan itu menyebabkan usaha mengesannya dilakukan.

ARTIKEL BERKAITAN: Covid-19: Perhatian... Semua peserta ijtimak tabligh segera hubungi pejabat kesihatan daerah!

"Pada pandangan saya, lelaki itu bukan melarikan diri. Mungkin dia bosan menunggu sementara menerima rawatan di klinik kesihatan menyebabkan dia balik ke rumah dahulu. Namun kami telah menghubunginya melalui telefon bagi memujuknya kembali ke klinik untuk menerima rawatan.

"Lelaki itu kemudiannya datang sendiri ke klinik itu dan ambulans terus menghantarnya ke hospital untuk rawatan sewajarnya," katanya kepada pemberita di Shah Alam pada Jumaat.

Lelaki itu, yang dipercayai menyertai program Ijtimak Tabligh di Masjid Sri Petaling baru-baru ini, telah dihantar ke Hospital Sungai Buloh untuk rawatan lanjut.

Pada masa sama, Noor Azam berkata setakat ini, anggota serta pegawai seluruh Kontinjen Selangor bebas daripada sebarang jangkitan wabak berkenaan.

Tular di media sosial hari ini mengatakan seorang lelaki yang dipercayai menyertai program tabligh di Sri Petaling melarikan diri daripada menerima rawatan di sebuah klinik kesihatan di sini. - BERNAMA

Ijtimak Tabligh, Covid-19

Artikel Lain