suria

Hasrat jadi perdana menteri, Anwar kata “kesabaran saya tahap dewa”

Anwar berkata hasrat untuk menjadi perdana menteri bukanlah keutamaannya pada masa kini.

PRESIDEN PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata hasrat untuk menjadi perdana menteri bukanlah keutamaannya pada masa kini.

Sebaliknya, beliau mahu menumpukan usaha untuk memperkukuh dan membina semula parti yang disifatkannya telah dikhianati.

ARTIKEL BERKAITAN: “Saya sentiasa sabar dan yakin” - Anwar Ibrahim

ARTIKEL BERKAITAN: “Saya ada merayu kepada beliau...”- Anwar dakwa Tun M kecewa dikaitkan dengan pihak ‘yang korup’

"Itu bukan soalnya. Saya masuk dalam gelanggang politik walaupun dihina, dicerca, diaibkan, saya tegak atas prinsip ini dan rakyat yang memutuskan dan tidak harus ada suara angkuh atau sombong untuk menidakkan.

"Saya tahu saya dijanji tapi dimungkiri... ia tidak menggusarkan tetapi pada saya, gunakan keupayaan kebijaksaan yang ada untuk kukuhkan parti dan kembali kepada landasan kerana beberapa tahun ini, pengkhianat-pengkhianat itu memang ketara," katanya dalam satu sidang media di ibu pejabat PKR di Petaling Jaya pada Jumaat.

Beliau terdahulu ditanya sama ada masih menaruh harapan untuk menjadi perdana menteri.

Anwar berkata Pakatan Harapan (PH) akan terus berbincang dengan Dr Mahathir mengenai pendiriannya bersama gabungan itu. 

Dalam pada itu, Anwar turut menyifatkan beliau mempunyai kesabaran 'tahap dewa'.

"Kesabaran saya tahap dewa. Orang kecam, maki hamun saya dah lama. Saya tak mahu diheret dengan menjawab satu persatu.

"Memadai saya sebut keutamaan kita dalam Keadilan ialah kembalikan landasan ini kepada perjuangan menegakkan keadilan dan menjaga kepentingan rakyat yang mengalami kesusahan," ujarnya.

Ditanya mengenai posisi Tun Dr Mahathir Mohamad dalam gabungan Pakatan Harapan (PH) pada masa kini, Anwar meminta ianya diajukan sendiri kepada bekas perdana menteri berkenaan.

"Setakat ini yang kita maklum bahawa PH terdiri daripada DAP, PKR dan Amanah. Bersatu sudah meninggalkan PH.

"Kita akan terus berbincang dengan Dr Mahathir," ujarnya lagi.

Anwar mahu menumpukan usaha memperkukuhkan PKR buat masa ini. 

Terdahulu, Dr Mahathir dalam satu wawancara dengan Sinar Harian berpendapat kerajaan Perikatan Nasional pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin mungkin bertahan sehingga Pilihan Raya Umum ke -15 (PRU-15).

Ahli Parlimen Langkawi itu berkata beliau pada masa ini mungkin tidak mempunyai majoriti untuk mencabar pelantikan Muhyiddin selaku perdana menteri di Dewan Rakyat.

Malah Mahathir turut mendakwa bahawa orang Melayu menolak Anwar untuk menjadi penggantinya kerana kerana falsafah politiknya yang liberal.

Mengulas mengenai dakwaan itu, Anwar berkata hanya Dr Mahathir yang menolaknya.

"Tun (Mahathir) tolak saya, tapi orang Melayu, saya belum pasti sebab saya bertanding di Port Dickson... 60 peratus Melayu yang sokong, dan Permatang Pauh pula kawasan Melayu," ujarnya.

Artikel Lain