SEORANG kanak-kanak autisme bernama Aiman sebelum ini sering menjadi perhatian Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri yang ketika itu merupakan Mufti Wilayah Persekutuan. Pertama kali warkah yang ditulis oleh Wan Azmeen Aiman Wan Ahmad atau lebih dikenali sebagai Wan Aiman adalah pada 2017. Baru berusia 11 tahun ketika itu, dia memberitahu dirinya reda sebagai anak autisme dan boleh berjaya seperti insan lain. ARTIKEL BERKAITAN: “Babak pertama, episod baharu...” – Coretan pertama mantan mufti WP, sejurus catat sejarah dilantik menteri Warkah pada Februari tahun lalu pula mengenai hasratnya dan rakan-rakannya untuk menghafaz 30 juzuk Al-Quran, sekali gus membuatkan hati Zulkifli tersentuh. Kini selepas Zulkifli dilantik sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), remaja berusia 14 tahun itu kembali menyentuh perasaan beliau menerusi warkah terbaharunya. Aiman (kiri) dan Zulkifli pertama kali bertemu pada 2017. Dalam coretan Wan Aiman, remaja itu mengucapkan tahniah dan kesyukurannya di atas pelantikan Zulkifli sebagai menteri yang bertanggungjawab dalam hal ehwal agama. Dia juga mendoakan Zulkifli agar sentiasa sihat dan tabah menjalankan tugas baharu yang merupakan amanah daripada Allah SWT. “Aiman doakan moga Malaysia negara Islam yang aman tenteram. Harapan Aiman, moga semua anak istimewa diberi peluang mengenal Allah dan sentiasa dekatkan diri kepada Yang Maha Esa. “Walaupun kami anak autisme, kami juga makhluk ciptaan Allah. Doakan Aiman sentiasa patuh dan taat perintah Allah. Aiman sayang Datuk Seri kerana Allah SWT,” ujarnya. Menerusi warkah tulisan tangan Wan Aiman yang dikongsikan Zulkifli di laman sosial beliau pada petang Jumaat, remaja itu turut menghadiahkan serangkap pantun. “Dua tiga kucing berlari, manakan sama si kucing belang, doa Aiman setiap hari, moga Allah rahmati Datuk Seri insan terbilang,” katanya. Warkah terbaharu tulisan Wan Aiman buat Zulkifli. Warkah Wan Aiman jelas mengundang sebak menteri itu pada Jumaat, yang merupakan penghulu segala hari. “Sebak membaca surat anakanda Wan Aiman yang dikasihi. Bagi yang mengikuti saya sejak beberapa tahun lalu, pasti kenal anakanda Wan Aiman… remaja autisme yang pintar dan amat meminati saya. “Aiman jual pantun, saya beli ya. Dua tiga kucing berlari, manakan sama si kucing hitam, anakanda Wan Aiman yang Allah kasihi, jangan ditinggal solat malam. “Itulah kunci kekuatan seorang hamba kepadaNya,” ujar Zulkifli. Zulkifli dan Wan Aiman pertama kali bertemu pada awal Februari 2017.