suria

TH umum agihan keuntungan selepas zakat, lebih tinggi berbanding tahun kewangan sebelumnya

TH mengumumkan agihan keuntungan selepas zakat sebanyak 3.05 peratus bagi tahun kewangan 2019.

LEMBAGA Tabung Haji (TH) mengumumkan agihan keuntungan selepas zakat sebanyak 3.05 peratus bagi tahun kewangan 2019.

Menurut kenyataan TH, ia melibatkan bayaran berjumlah RM2.1 bilion iaitu RM1.2 bilion lebih tinggi berbanding RM913 juta pada tahun kewangan sebelumnya.

Malah, prestasi kewangan yang semakin baik itu berasaskan strategi pelaburan mampan serta langkah pengurusan kos secara berhemat yang menyumbang kepada pertumbuhan agihan kewangan pada 2019.

ARTIKEL BERKAITAN: 9.3 juta pendeposit TH terima hibah 1.25 peratus, terendah dalam sejarah

TH berkata ia berjaya memperoleh pendapatan pelaburan sebanyak RM3.3 bilion yang mana RM1.2 bilion daripadanya dijana pada suku keempat 2019.

"Secara keseluruhannya, pendapatan pelaburan yang dijana TH adalah lebih stabil dengan pelaburan aset pendapatan tetap menjana 58 peratus pendapatan atau sebanyak RM1.9 bilion manakala pelaburan hartanah, ekuiti dan instrumen pasaran wang Islam masing-masing menyumbang RM500 juta (15 peratus), RM500 juta, (15 peratus) dan RM400 juta (12 peratus)," katanya.

Selain itu, perubahan strategi pelaburan TH kepada aset pelaburan yang lebih stabil juga berjaya mengurangkan tekanan akibat ketidaktentuan pasaran saham yang antara lainnya disebabkan oleh perang dagangan di peringkat global.

Menurut TH, pada 31 Disember 2019,  jumlah asetnya mencecah RM74.3 bilion manakala liabiliti berjumlah RM71.4 bilion yang menjadikan jumlah aset melebihi liabiliti sebanyak RM2.9 bilion (sebelum agihan keuntungan kepada pendeposit).

Secara keseluruhan, TH juga berjaya mencatat keuntungan selepas zakat bagi tahun kewangan 2019 berjumlah RM1.9 bilion iaitu peningkatan sebanyak 19 peratus atau RM300 juta berbanding RM1.6 bilion bagi tahun kewangan 2018.

"Peningkatan keuntungan selepas zakat ini dicapai setelah TH mengambil kira sebanyak RM86 juta bagi pembayaran zakat kepada majlis-majlis agama Islam negeri-negeri dan RM370 juta bagi mengurus dan menyediakan pelbagai kemudahan untuk semua jemaah haji," katanya.

Menurut TH, ini juga membolehkan TH  mengekalkan kadar bayaran haji pada RM9,980 berbanding kos sebenar RM22,900 untuk setiap jemaah Muassasah yang menunaikan haji buat kali pertama pada musim haji 1440 Hijrah lepas.

Sementara itu, Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Datuk Nik Mohd Hasyudeen Yusoff berkata agihan  keuntungan yang diisytiharkan itu adalah lebihan keuntungan pelaburan setelah mengambil kira perbelanjaan dan bantuan  kos haji, bayaran zakat dan kos pengurusan.

"Oleh yang demikian pendeposit TH bukan sahaja mendapat manfaat  pulangan keuntungan ke atas simpanan mereka, malah turut menyumbang secara langsung dalam membantu jemaah haji Malaysia menunaikan rukun Islam kelima serta golongan asnaf dalam menjaga kebajikan mereka.

"TH membayar zakat bagi pihak pendeposit. Oleh yang demikian, pendeposit tidak perlu lagi membayar zakat ke atas wang simpanan dan agihan keuntungan yang diterimanya," kata beliau.

Melangkah ke hadapan, TH akan terus berusaha menambah manfaat ke atas simpanan pendeposit setelah peralihan kepada kontrak simpanan Wakalah dengan memperkenalkan pelbagai tambah nilai lain, selain terus memastikan prestasi pelaburan yang mampan.

Agihan keuntungan bagi tahun kewangan 2019 dikira berdasarkan purata baki simpanan terendah bulanan pendeposit.

Pendeposit boleh mula menyemak pengkreditan agihan keuntungan itu bermula 16 Mac, 2020 di kaunter-kaunter TH, Bank Islam dan Bank Rakyat atau menerusi ATM Bank Islam, Bank Rakyat, Maybank dan CIMB.

Semakan juga  boleh dilakukan secara dalam talian di laman sesawang http://www.thijari.com.my dan portal internet Bank Islam, Bank Rakyat dan Maybank.

Maklumat lanjut boleh diperolehi menerusi Pusat Panggilan Tabung Haji di talian 03-62071919. -Bernama

TH, Tabung Haji, keuntungan, pendapatan, 2019

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain