KETUA Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador menafikan dakwaan bahawa anak lelaki bekas Menteri Kewangan Lim Guan Eng ditahan di Singapura. Katanya, anak Guan Eng berada di negara jiran itu tetapi tidak ditahan oleh pihak berkuasa di sana. "Ia tidak benar. Kami tidak menerima sebarang laporan bahawa anak dia (Guan Eng) ditahan di Singapura. "Ia sebenarnya berita palsu yang tersebar," katanya ketika dihubungi pada Sabtu. Beliau berkata anak lelaki Setiausaha Agung DAP itu juga tidak disiasat pihak berkuasa negara ini. "Kami akan menyiasat dalang penyebaran berita palsu ini. "Kami akan meneliti perkara ini," katanya. Akhbar berbahasa Cina, Nanyang Siang Pau sebelum ini melaporkan bahawa anak kepada seorang pemimpin kanan Pakatan Harapan didakwa ditahan selepas cuba membawa masuk wang RM2 juta ke Singapura tanpa pengesahan yang betul. Malah blog kontroversi Malaysia Today turut memetik artikel tersebut mendakwa individu berkenaan adalah anak kepada Guan Eng. - The Star