SUSULAN pengumuman Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengenai Perintah Kawalan Pergerakan (restriction of movement) di negara ini bagi membendung penularan wabak Covid-19, pastinya timbul persoalan terhadap pelbagai perkara. Antara perkara yang menjadi tumpuan umum adalah mengenai operasi sesebuah restoran atau kedai makan. ARTIKEL BERKAITAN: Covid-19: PM umum Perintah Kawalan Pergerakan mulai Rabu Menerusi edaran FAQ oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) pada Selasa, ia turut menyenaraikan persoalan yang selalu bermain di minda orang awam iaitu sama ada kedai makanan seperti makanan segera, restoran atau pusat makanan penjaja boleh dibuka. Menurut MKN, kedai makanan boleh dibuka tetapi hanya untuk makanan yang dibawa pulang sahaja atau melalui perkhidmatan penghantaran oleh syarikat tertentu seperti Grab Food atau Food Panda. Perintah Kawalan Pergerakan diisytiharkan bermula Rabu sehingga 31 Mac 2020. Perintah ini terpakai di seluruh Malaysia di mana ia berkuatkuasa setiap masa tanpa tempoh waktu tertentu. Terdapat enam arahan yang terkandung dalam perintah tersebut antaranya larangan menyeluruh pergerakan dan perhimpunan, sekatan perjalanan, penutupan sekolah serta institusi pendidikan pelbagai peringkat dan penutupan semua premis kerajaan dan swasta kecuali yang terlibat dengan perkhidmatan penting negara (essential services).