suria

Polis tarik semula larangan keluar antara negeri

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata larangan itu telah ditarik semula buat sementara waktu sehingga keputusan mengenai perkara itu diputuskan dalam mesyuarat pada Rabu. Foto: The Star

POLIS Diraja Malaysia menarik semula larangan yang dikeluarkannya berhubung perjalanan rentas negeri, pada malam Selasa.

Arahan baru itu susulan orang ramai mula berpusu-pusu hadir ke balai polis di seluruh negara untuk mengisi dokumen keluar negeri.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata larangan itu telah ditarik semula buat sementara waktu sehingga keputusan mengenai perkara itu diputuskan dalam mesyuarat pada Rabu (18 Mac).

ARTIKEL BERKAITAN: Polis kuat kuasa sekatan antara negeri, orang ramai perlu isi borang khas

"Tidak ada halangan bagi mereka yang membuat perjalanan antara negeri, tetapi kami tetap menasihatkan orang ramai untuk tinggal di rumah dan membatasi perjalanan mereka, memandangkan pandemik Covid-19 berbahaya," katanya ketika dihubungi.

Terdahulu, Abdul Hamid dalam satu sidang media pada petang Selasa berkata, sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan bermula Rabu sehingga 31 Mac depan, orang ramai yang mahu membuat perjalanan keluar dari negeri masing-masing perlu memaklumkan kepada pihak polis.

Ujarnya, mereka yang berkenaan perlu mengisi borang khas (Borang Kebenaran Rentas Negeri) di balai polis terdekat serta menyatakan keperluan untuk membuat perjalanan tersebut.

Langkah itu ujarnya sebagai satu usaha untuk membendung penularan Covid-19 di negara ini. - THE STAR

negeri, polis, perjalanan, dokumen

Artikel Lain