suria

KSN mohon maaf, khilaf urusan jemputan mesyuarat khas Covid-19 libatkan MB, Ketua Menteri

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mempengerusikan Mesyuarat Khas Menteri Besar dan Ketua Menteri di Bangunan Perdana Putra pada Selasa. Foto: Bernama

KETUA Setiausaha Negara, Datuk Seri Mohd Zuki Ali memohon maaf atas kesilapan dalam mengeluarkan jemputan untuk mesyuarat khas Menteri Besar dan Ketua Menteri bagi menangani penularan Covid-19, pada Selasa di Putrajaya.

Ujarnya, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin telah mengarahkan semua Menteri Besar dan Ketua Menteri untuk menghadiri mesyuarat tanpa pengecualian.

ARTIKEL BERKAITAN: Covid-19: PM umum Perintah Kawalan Pergerakan mulai Rabu

"Bagi pihak sekretariat mesyuarat, saya ingin memohon maaf atas kesilapan dalam jemputan itu, yang hanya dikeluarkan kepada Menteri Besar dan Ketua Menteri daripada parti komponen Kerajaan Persekutuan.

"Bagi negeri-negeri Pulau Pinang, Kedah, Selangor, Negeri Sembilan dan Sabah, hanya pengarah pembangunan negeri dijemput," katanya dalam satu kenyataan.

Mohd Zuki berkata Perdana Menteri memandang serius perkara itu dan mahu bekerjasama dengan semua kerajaan negeri tanpa mengira pendirian politik mereka.

Beliau berkata ini amat penting apabila ia melibatkan kepentingan negara seperti wabak Covid-19.

"Perdana Menteri telah mengeluarkan arahan untuk semua Menteri Besar dan Ketua Menteri dijemput hadiri mesyuarat Covid-19 pada masa akan datang," katanya.

Terdahulu, Pakatan Harapan melahirkan rasa kesal apabila negeri-negeri di bawah pentadbiran mereka tidak dijemput menghadiri mesyuarat khas itu. - THE STAR

KSN, Covid-19, mesyuarat

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain