suria

Kakitangan PLUS positif Covid-19, Plaza Tol Ebor ditutup sementara... terkini Malaysia catat 790 kes

Plaza Tol Ebor (Plaza Masuk) ditutup sementara bermula 12.01 pagi hingga 11.59 malam, Khamis (esok) untuk kerja pembersihan dan sanitasi. Gambar Hiasan: Bernama.

SEORANG kakitangan PLUS Malaysia Berhad (PLUS) dijangkti Covid-19, memaksa Plaza Tol Ebor (Plaza Masuk), Shah Alam, ditutup sementara bermula 12.01 pagi hingga 11.59 malam, Khamis (esok) untuk kerja pembersihan dan sanitasi.

Kakitangan tersebut, seorang Pembantu Khidmat Pelanggan ketika ini sedang dirawat di sebuah pusat perubatan kerajaan.

ARTIKEL BERKAITAN: Covid-19: Malaysia catat 2 kematian pertama

Malah, semua petugas yang mempunyai kontak rapat dengan pesakit itu diarahkan supaya menjalani saringan dan dikuarantin.

Oleh itu, pengguna lebuh raya dari Shah Alam, Batu Tiga serta kawasan sekitar yang menghala ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, Putrajaya dan selatan dinasihatkan supaya memasuki lebuhraya ELITE menerusi Plaza Tol Shah Alam atau Seafield sepanjang tempoh penutupan tersebut.

Malaysia catat 790 kes

Sementara dalam perkembangan berkaitan, Malaysia menyaksikan peningkatan sebanyak 117 kes Covid-29, menjadikan jumlah keseluruhan 790 kes setakat Rabu.

Menurut kenyataan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), 80 kes direkodkan pada Selasa berkaitan dengan kluster perhimpunan tabligh di Masjid Jamek, Seri Petaling.

Pada masa ini, 15 pesakit positif Covid-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan memerlukan bantuan pernafasan.

Seorang mangsa dari Johor Bahru yang meninggal dunia selepas menghadiri perhimpunan tabligh selamat dikebumikan pada malam Selasa.

Dalam pada itu, susulan pengumuman Perintah Kawalan Pergerakan oleh Perdana Menteri pada Isnin, kerajaan telah mengeluarkan satu warta, [P.U.(A) 87 bertarikh 17 Mac 2020 memaklumkan semua negeri dan Wilayah Persekutuan di Malaysia diwartakan sebagai kawasan tempatan jangkitan.

Individu yang melanggar mana-mana peruntukan di bawah peraturan-peraturan tersebut adalah melakukan satu kesalahan, apabila disabitkan, didenda tidak melebihi RM1,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya.

Untuk rekod semasa, 11 kes positif Covid-19 di negara ini telah pulih dan dibenarkan discaj, menjadikan jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya adalah sebanyak 60 kes.

Plaza Tol Ebor, PLUS, Covid-19, KKM

Artikel Lain