suria

Jangan panik! Kereta kebal hanya pulang ke pangkalan, tak terlibat dengan Perintah Kawalan Pergerakan

Imej sebuah kereta kebal daripada sebuah video yang tersebar di media sosial menimbulkan rasa panik orang ramai. Foto: The Star

VIDEO yang tular yang memaparkan kereta kebal dan kereta perisai bergerak di atas jalan raya ketika hari pertama Perintah Kawalan Pergerakan, menimbulkan reaksi panik orang ramai.

Namun, dilaporkan kereta kebal dan kereta perisai itu hanya bergerak pulang ke pangkalan.

Majlis Keselamatan Negara (MKN) ketika dihubungi memberi jaminan kepada rakyat Malaysia bahawa tentera tidak dikerah untuk menguatkuasakan perintah tersebut.

ARTIKEL BERKAITAN: Covid-19: PM umum Perintah Kawalan Pergerakan mulai Rabu

ARTIKEL BERKAITAN: Covid-19: ATM tidak terlibat dalam pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan

"Kami tidak mengerahkan tentera untuk Perintah Kawalan Pergerakan, tidak perlu panik.

"Di bawah Perintah Kawalan Pergerakan, semua latihan untuk tentera telah ditangguhkan dan apa yang anda lihat hanyalah kakitangan tentera dan peralatan yang kembali ke pangkalan," kata jurucakap MKN ketika dihubungi.

Terdahulu, video memaparkan sebuah kereta kebal tentera dan kenderaan berperisai yang bergerak di atas jalan raya menjadi tular di media sosial.

Susulan itu timbul dakwaan netizen kononnya tentera telah dikerahkan untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan.

Bagaimanapun, lokasi video tersebut dirakam tidak diketahui.

MKN bertanggungjawab ke atas Perintah Kawalan Pergerakan yang berkuatkuasa dari 18 sehingga 31 Mac seperti yang diumumkan oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam usaha mengekang penyebaran wabak Covid-19. - THE STAR

Artikel Lain