suria

Semua majlis akad nikah di Selangor ditangguhkan selepas jurunikah dikuarantin - Jais

Menurut Jais jurunikah terbabit disyaki ada kontak rapat dengan individu positif Covid-19 semasa proses akad nikah dilakukan. -Gambar hiasan

JABATAN Agama Islam Selangor (Jais) menangguhkan semua majlis akad nikah di negeri ini sehingga 31 Mac selepas beberapa jurunikahnya terpaksa dikuarantin selepas melaksanakan akad nikah.

Pengarah Jais Mohd Shahzihan Ahmad ketika dihubungi berkata proses kuarantin itu dilakukan berikutan jurunikah terbabit disyaki ada kontak rapat dengan individu positif Covid-19 semasa proses akad nikah dilakukan.

Beliau berkata pihaknya turut menangguhkan sebarang urusan permohonan kebenaran berkahwin sehingga Perintah Kawalan Pergerakan dari 18 hingga 31 Mac berakhir.

“Ini adalah arahan terbaharu setakat ini kerana dikhuatiri ada lagi jurunikah kita terpaksa dikuarantin selepas majlis akad nikah.

"Mana-mana pihak yang terlibat dengan arahan terbaharu ini, mereka diminta menghubungi penolong pendaftar perkahwinan atau jurunikah yang telah ditetapkan untuk urusan selanjutnya,” katanya di Shah Alam, Jumaat.

Justeru, katanya bagi majlis akad nikah selepas perintah kawalan berakhir pula, pihak terlibat perlu mematuhi Tatacara Pelaksanaan Majlis Akad Nikah di Selangor seperti yang ditetapkan sehingga 17 April ini.

Tatacara itu, katanya adalah dengan tidak melaksanakan majlis akad nikah di masjid dan surau sepertimana yang dititahkan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah pada 17 Mac lepas supaya tiada aktiviti dijalankan di rumah ibadah itu sehingga tarikh berkenaan bagi mengekang penularan COVID-19.

Selain itu, kata Mohd Shahzihan, majlis akad nikah haruslah antara lain dilaksanakan tidak melebihi 20 minit termasuk khutbah nikah sementara akad nikah dilakukan tanpa berjabat tangan antara pengantin lelaki dengan wali atau jurunikah. -Bernama

akad nikah, Covid-19, Jais, tangguh

Artikel Lain