suria

“Dah suruh balik, mereka tak hirau” - Grup warga emas degil lepak kedai kopi dari pagi ke tengah hari, tauke angkat kerusi batu

Kumpulan pelanggan ini tidak mengendahkan Perintah Kawalan Pergerakan, malah tidak peduli gambar mereka tersebar di media sosial.

SELEPAS berdepan dengan sekelompok pelanggan yang degil, sebuah kedai kopi di sini terpaksa mengangkat kerusi batu yang berat bagi menghalang pelanggan yang enggan mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan daripada melepak di situ.

Kisah bermula apabila sekumpulan warga emas menghabiskan masa hampir tiga jam di kedai kopi K'Yong Muhibbah Ceria di Balik Pulau, Pulau Pinang, pagi Rabu.

ARTIKEL BERKAITAN: Enggan buat ujian Covid-19, polis terpaksa datang ke rumah kontak rapat peserta tabligh

"Mereka bungkus kopi ais dan teh ais untuk bawa balik selepas kami beritahu mereka bahawa pelanggan tak boleh makan dalam kedai.

"Tapi pesanan mereka dah siap, mereka terus berkumpul di meja batu di bahagian luar kedai," kata pemilik kedai yang hanya mahu dikenali sebagai Yong.

Yong, 34, berkata pelanggan-pelanggan ini telah diberitahu dengan sopan bahawa tindakan mereka bertentangan dengan perintah yang dikeluarkan, yang mana orang ramai tak dibenarkan berkumpul dan hanya duduk di rumah.

Pemilik kedai kopi terpaksa mengangkat kerusi batu di luar kedai gara-gara adanya pelanggan degil.

"Kami suruh mereka balik beberapa kali tetapi mereka tak hirau.

"Mereka juga tak peduli bila kami tunjuk kepada mereka bahawa seseorang telah berkongsi foto mereka di media sosial.

"Mereka duduk di situ dari jam 9 pagi dan hanya balik pada tengah hari," katanya ketika ditemui di kedainya, Khamis.

Sesetengah daripada mereka adalah pelanggan tetap yang akan berkumpul dengan rakan-rakan di luar kedai hampir setiap pagi.

"Selepas mereka balik, kami angkat kerusi dan menyusunnya secara terbalik.

"Ia sangat berat, saya tak rasa ada sesiapa yang boleh mengalihkannya. Perlu buat macam ni untuk pastikan masalah ini tak bertambah teruk." -The Star

degil, pelanggan, Covid-19, lepak, kedai kopi

Artikel Lain