suria

Kenal di masjid, hubungan berlanjutan ke surau... sahabat kongsi pengalaman berdamping korban Covid-19 - “Setiap kali kuliah, mesti dia ada”

Ulwan mengenali mangsa ke-11 di sebuah masjid sekitar dua tahun lalu.

KEMATIAN demi kematian yang akibat Covid-19 yang diumumkan setiap hari ternyata mengejutkan ramai pihak.

Namun yang paling terkesan tentunya kaum keluarga dan sahabat handai.

Terbaharu, pemergian seorang pengerusi surau yang direkodkan sebagai kematian ke-11 akibat Covid-19 turut mendapat perhatian seorang pengkuliah, Ulwan Hamdan.

ARTIKEL BERKAITAN: Pengerusi surau korban ke-11 Covid-19, meninggal Ahad malam

ARTIKEL BERKAITAN: Kakitangan Hospital Teluk Intan positif Covid-19

Menurut Ulwan, 29, dia mengenali mangsa ke-11 itu setelah bertemu dengannya di sebuah masjid di Cheras sekitar dua tahun lalu.

"Saya dimaklumkan mengenai kematiannya pukul 11 malam (Ahad). Memang terkejut dan agak sedih. Biasanya selepas habis beri kuliah, dia ajak saya makan, kami pun selalu bersembang.

"Kami pula sama-sama asal dari Terengganu. Dari pemerhatian saya, dia seorang yang sangat peramah, mesra dan suka senyum.

Posting Ulwan di Facebook.

"Sudah tentu rasa sedih sebab kita kenal. Tiba-tiba orang yang dekat kena Covid-19," ujarnya kepada mStar.

Menurut Ulwan, dia sebelum ini pernah memberi kuliah di sebuah masjid yang mana mangsa ke-11 merupakan timbalan pengerusi di situ.

Allahyarham kemudiannya menjemput Ulwan untuk memberi kuliah dia sebuah surau berdekatan sekali gus mengeratkan lagi persahabatan mereka.

Setiap kali ada kuliah, mesti dia ada. Saya dah anggap dia macam ayah sendiri.

ULWAN HAMDAN

PENGKULIAH

Mangsa ke-11 merupakan pengerusi di surau itu, juga di Cheras.

"Mula-mula saya bagi kuliah di sebuah masjid, selepas itu dia ajak ke sebuah surau lagi.

"Setiap kali ada kuliah, mesti dia ada. Dia memang 'kaki masjid, kaki surau'. Saya dah anggap dia macam ayah sendiri. Kali terakhir jumpa selepas saya bagi kuliah subuh di surau pada Januari lalu.

"Dia kata dia suka cara saya beri kuliah sebab kadang-kadang saya selitkan nasyid. Kata-kata dia buat saya lagi bersemangat nak teruskan dakwah," ujar Ulwan yang menetap di Bandar Tasik Selatan.

Malaysia merekodkan 11 kematian akibat Covid-19 pagi Isnin.

Dalam pada itu, Ulwan turut berkongsi mengenai pemergian mangsa ke-11 Covid-19 itu menerusi laman Facebook miliknya.

Sementara itu, kematian mangsa ke-11 disahkan oleh KKM pada Isnin.

Menurut KKM, kes kematian ke-11 (kes ke-1,070) merupakan seorang warganegara Malaysia berusia 70 tahun dengan latar belakang penyakit kronik.

"Beliau mempunyai sejarah perjalanan ke Indonesia pada bulan Februari 2020.

KKM mengesahkan kematian mangsa ke-11 pada Isnin.

"KKM juga dimaklumkan bahawa beliau merupakan pengerusi surau kawasan setempat beliau.

"Beliau telah mula menunjukkan gejala seminggu sebelum dimasukkan ke Hospital Canselor Tuanku Muhriz UKM pada 18 Mac 2020," ujar KKM.

Tambah KKM, beliau mula menunjukkan gejala seminggu sebelum dimasukkan ke hospital dan disahkan positif Covid-19 pada 19 Mac 2020.

Selepas diberikan bantuan pernafasan di Unit Rawatan Rapi (ICU), kesihatannya merosot hari demi hari dan telah disahkan meninggal dunia pada 22 Mac 2020 jam 9.05 malam.



Artikel Lain