suria

TVET ada potensi besar untuk kerjaya masa depan, ini lepasan SPM perlu tahu untuk jadi graduan ‘terhangat di pasaran’

HEBAT calon-calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun 2019, apabila pencapaian mereka lebih baik berbanding tahun sebelumnya, yang mana Gred Purata Nasional (GPN) yang dicatatkan adalah 4.86 bagi 2019, berbanding 4.89 pada 2018.

Ketika ini, seramai 389,498 calon yang menduduki SPM 2019 mula menentukan hala tuju mereka termasuk merancang untuk menyambung pengajian.

Beberapa universiti dan bidang kini berada dalam senarai pilihan mereka, dengan matlamat masing-masing mahu mendapat kerjaya yang bagus selepas tamat pengajian.

Sebenarnya, pelajar lepasan SPM juga digalakkan mengambil Pendidikan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) kerana ia mempunyai pasaran kerja yang cukup luas pada masa depan.

Pelajar lepasan SPM digalakkan mengambil Pendidikan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

Tidak sepatutnya menjadi opsyen kerana bidang kemahiran kini menawarkan banyak peluang pekerjaan, sekali gus menjadikan mereka sebagai graduan 'terhangat di pasaran'.

Selari dengan Wawasan Kemakmuran Bersama (WKB) 2030, TVET menjadi antara pemboleh daya yang dapat menyumbang ke arah pembentukan negara membangun yang makmur dan inklusif.

Tingkat produktiviti

Institusi pendidikan TVET seperti German-Malaysian Institute (GMI) yang menawarkan latihan dengan aspek teknikal dapat melahirkan graduan yang mempunyai kebolehpasaran tinggi.

Pengarah Urusan German-Malaysian Institute (GMI), Prof Ir Dr Azmi Hassan berkata, sejak ditubuhkan pada 1992, institusi itu kini memperkenalkan lebih 10 program berkaitan TVET mengikut acuan Jerman terutama dalam bidang mekanikal dan elektrikal.

“Lepasan SPM mempunyai banyak peluang untuk menyambung pengajian di GMI. Setakat ini, GMI telah melahirkan lebih 12,000 graduan dalam bidang-bidang berkenaan.

“GMI juga menawarkan program persediaan untuk melanjutkan pengajian di universiti-universiti Jerman. GMI telah menghantar lebih 1,200 pelajar melalui program ini sejak 10 tahun lepas.

“Begitu juga dengan program yang sangat relevan dengan industri iaitu German Dual Vocational Training (GDVT), yang mana kita bekerjasama dengan industri terutama syarikat-syarikat Jerman di Malaysia,” katanya dalam wawancara bersama mStar, baru-baru ini.

German-Malaysian Institute (GMI) melahirkan graduan yang mempunyai kebolehpasaran tinggi.

Azmi berkata, konsep GDVT memberi tumpuan 70 peratus latihan praktikal di industri dan 30 peratus adalah pembelajaran teori di institusi.

Selain kredibiliti kokurikulum yang diadaptasi dari Jerman, Azmi berkata, jentera dan peralatan yang disediakan di GMI adalah bersesuaian dengan industri.
 
“Ia menjadikan lebih mudah dan cepat untuk mereka mengadaptasi persekitaran. Industri tidak perlu melatih semula dan graduan sudah bersedia untuk memenuhi jangkaan industri.
 
“Mereka membantu syarikat meningkatkan produktiviti dengan lebih cepat. Ini kerana masa adalah sangat penting di industri,” katanya.

Azmi melihat hala tuju TVET memberi cabaran namun menjelaskan bahawa terdapat penyelesaian yang terbaik dalam memastikan program tersebut kekal relevan.

“Kita nampak trend sekarang bagi lepasan GMI mahupun diploma, mereka lebih suka untuk menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi.

“Mungkin antara sebab adalah kadar gaji bagi juruteknik agak rendah di industri. Jadi, cabarannya sekiranya gaji tersebut adalah setimpal atau mempunyai nilai yang lebih baik, saya berpendapat mereka akan terus masuk ke pasaran buruh.

“Dengan itu, saya cadangkan supaya kadar gaji itu perlu dipertingkatkan. Dan sekiranya kita dapat mengadakan kerjasama rapat dengan pihak institusi dan industri, ia peluang untuk pelajar berada dalam industri lebih awal,” katanya.

Pengarah Urusan German-Malaysian Institute (GMI), Prof Ir Dr Azmi Hassan. Foto ART CHEN 

Menerusi penglibatan tenaga kerja tempatan, beliau berkata, ia sekali gus mengurangkan kebergantungan Malaysia terhadap pekerja asing.

Malah, beliau turut menjelaskan bahawa pelajar tempatan yang berkemahiran dapat menghadapi cabaran Revolusi Industri 4.0 (Industri 4.0).

“Kemahiran mereka akan menambah baik teknologi dan membantu teknologi baharu di industri, dan seterusnya produktiviti akan meningkat dengan pantas,” katanya.

Permintaan pasaran


Sementara itu, Presiden Persatuan Teknologi Automasi Malaysia (MATA), Tiong Khe Hock pula berkata, pihaknya menumpukan pembangunan bakat dan tenaga kerja di negara ini, terutama dalam industri jentera dan peralatan (M&E).

Khe Hock memberitahu, bidang jentera dan peralatan banyak menyumbang kepada ekonomi negara, dan begitu penting kepada industri terutama sektor pembuatan.

“Syarikat-syarikat Malaysia yang menuju ke arah Industri 4.0, mereka banyak bergantung kepada sokongan jentera dan peralatan bagi mengurangkan tenaga kerja,” katanya sambil menambah bahawa jentera dan peralatan merupakan antara sembilan subsektor utama dalam Produktiviti Nexus di bawah Blueprint Produktiviti Malaysia (MPB).

Generasi muda yang berkemahiran membantu syarikat meningkatkan produktiviti dengan lebih pantas.

Mengenai TVET, Khe Hock berkata, terdapat permintaan dalam industri, tetapi timbul kesukaran dari segi penawaran tenaga berkemahiran.

“Banyak syarikat MNE berdepan dengan kesukaran untuk mengisi sesetengah jawatan berkemahiran yang melibatkan jentera dan peralatan seperti juruteknik.

“Dengan inisiatif melalui Produktiviti Nexus, kolaborasi antara agensi kerajaan dan persatuan industri dapat dipertingkatkan,” ujar Khe Hock yang juga berperanan sebagai Ketua Kumpulan Kerja: Bakat dan Tenaga Kerja di dalam Produktiviti Nexus Jentera dan Kelengkapan.

Menurut beliau, pihaknya mengadakan kerjasama dengan Pembangunan Sumber Manusia Berhad (PSMB) untuk membangunkan Rangka Kerja Kemahiran Perindustrian untuk subsektor M&E.

Presiden Persatuan Teknologi Automasi Malaysia (MATA), Tiong Khe Hock. Foto ART CHEN 

Dalam pada itu, Khe Hock berkata, pemain industri banyak mengeluh kerana mereka terpaksa melatih pekerja-pekerja termasuk graduan universiti, maka program perintis dapat membantu pemain industri.

“Jika kita mempunyai perintis yang terlatih dan berpengalaman, masa untuk latihan dapat dikurangkan. Program perintis ini di mana mereka belajar dan bekerja dengan syarikat pada masa sama.

“Saya lihat banyak potensi terutama dalam industri M&E yang memerlukan lebih banyak tenaga kerja. Banyak kemahiran yang diperlukan dalam mendepani Industri 4.0 seperti mekatronik, automotif dan robotik.

“Saya merasakan terdapat permintaan yang besar dalam kalangan golongan muda untuk menjadikan bidang ini sebagai satu kerjaya,” katanya yang juga merupakan Ahli Jawatankuasa Tertinggi dalam Gabungan Perusahaan Mesin dan Industri-industri Kejuruteraan (MEIF), yang mana MIEF mempunyai rangkaian hampir 6,000 syarikat dalam industri M&E.

Terdapat permintaan yang besar dalam kalangan golongan muda untuk menjadikan bidang kemahiran sebagai satu kerjaya.

Walaupun kos pengambilan pekerja asing adalah lebih rendah, namun katanya, syarikat-syarikat perlu menyedari bahawa produktiviti merupakan keutamaan.

“Jika syarikat berupaya memperoleh pekerja tempatan yang lebih produktif, saya fikir mereka dapat menggajikan pekerja dengan kadar lebih tinggi.

“Malahan, dari segi perkembangan kerjaya juga dapat menyaksikan pekerja tempatan berpeluang menjadi jurutera dan pengurus pada masa akan datang.

“Dengan peredaran masa, pengalaman dan pendidikan tambahan memberikan banyak peluang kepada mereka untuk berkembang ke peringkat lebih tinggi,” katanya.

Artikel Lain