suria

Tanda hargai 'frontliner', anggota polis KL terima pek makanan sehingga 31 Mac

Megat Shahriman (kiri) menyerah bungkusan makanan kepada wakil-wakil anggota polis di Dang Wangi pada Selasa.

'FRONTLINER' menjadi pasukan penting dalam mengekang wabak penularan pandemik Covid-19 yang kini telah meragut 15 nyawa di negara kita.

Bukan sahaja petugas-petugas di hospital atau pusat kesihatan, sebaliknya pasukan anggota keselamatan turut memainkan peranan penting dalam memastikan wabak ini dikurangkan.

Polis Diraja Malaysia (PDRM), Yayasan Usahawan Negara (YUN) melalui kerjasama dengan Restoran Berputar Atmosphere 360 Menara Kuala Lumpur telah melaksanakan misi pembekalan makanan tengahari kepada wira-wirawati pasukan keselamatan di ibu negara bermula 24 Mac hingga 31 Mac ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Risau tapi bangga! Suami kongsi isterinya panas pakai sut, tak ada masa nak makan rawat pesakit Covid-19 di Arab Saudi

Penyaluran bantuan makanan tengahari itu bertujuan menyuntik semangat anggota dan pegawai PDRM untuk terus memberi perkhidmatan terbaik sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.

Menurut Pengerusi Ahli Lembaga Pemegang Amanah YUN, Datuk Seri Megat D. Shahriman Zaharudin, pihaknya memperuntukkan sebanyak 500 pek makanan setiap hari hingga 31 Mac ini dengan ia meliputi anggota yang turut bertugas di semua 61 lokasi sekatan jalanraya sekitar Lembah Klang.

"Alhamdulillah hari ini penyerahan ini akan dibuat melalui enam Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di sekitar Kuala Lumpur.

"Kami akan menyalurkan sumbangan makanan hingga 31 Mac ini untuk pastikan angota-anggota PDRM terus bersemangat sesuai dengan tanda pagar yang trending ketika ini #kitajagakita. Jumlah pek makanan itu juga akan ditambah sekiranya terdapat permintaan tinggi," katanya ketika menyerahkan sumbangan di IPD Dang Wangi pada Selasa.

Sementara itu, Megat Shahriman yang juga Pengarah Urusan Atmosphere 360 turut berterima kasih kepada Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin yang mengalu-alukan bantuan daripada NGO dan syarikat swasta.

Sumbang Makanan, YUN, Frontliner

Artikel Lain