PAKEJ Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) yang diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin turut memberi manfaat buat golongan pelajar di negara ini. Menerusi pengumuman untuk meringankan kos kehidupan rakyat pelbagai latar belakang yang dibuat pada Jumaat, bantuan kewangan akan disalur kepada pelajar pelbagai peringkat Insitusi Pengajian Tinggi (IPT) bermula Mei. ARTIKEL BERKAITAN: PM umum Pakej Prihatin Rakyat bernilai RM250 bilion, ini bantuan wang tunai yang bakal diterima rakyat "Saya juga tidak lupa kepada pelajar institusi pengajian tinggi. Anda juga akan menerima bantuan secara one-off sebanyak RM200 seorang yang akan dibayar pada bulan Mei 2020. "Bantuan ini melibatkan peruntukan sebanyak RM270 juta kepada pelajar di pelbagai peringkat pengajian tinggi termasuk matrikulasi, kolej komuniti, politeknik, IPTA dan IPTS," ujar Muhyiddin. Turut diumumkan adalah penangguhan bayaran balik Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN). "Sebelum ini, kerajaan telah bersetuju untuk menangguhkan bayaran balik PTPTN kepada semua peminjam selama enam bulan melibatkan kutipan sebanyak RM750 juta. "Kini, kerajaan bersetuju memberikan penangguhan bayaran balik pinjaman untuk tempoh yang sama kepada peminjam Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran atau PTPK mulai 1 April 2020 hingga 30 September 2020, dengan anggaran kutipan sebanyak RM149.2 juta," ujarnya. Kata Muhyiddin, inisiatif ini akan memanfaatkan seramai 174,500 peminjam. Antara yang turut mencuri tumpuan pastinya pengumuman perdana menteri bagi industri telekomunikasi dan multimedia. Hasil kerjasama dengan syarikat-syarikat telekomunikasi, beberapa pakej khas akan ditawarkan buat rakyat dalam berhadapan tempoh getir pada masa ini. "Antara pakej khas yang akan ditawarkan ialah internet percuma kepada semua pelanggan dengan nilai RM600 juta bermula 1 April 2020 sehingga tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Keselamatan (PKP) tamat. "Selain itu, tambahan RM400 juta akan dilaburkan untuk meningkatkan liputan dan keupayaan rangkaian bagi mengekalkan ketersediaan dan kualiti rangkaian telekomunikasi yang tinggi dan mampan," ujar Muhyiddin lagi.