suria

Kakitangan perubatan, anggota polis, tentera bertungkus lumus bendung Covid-19 nikmati elaun khas

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika mengumumkan Pakej Prihatin Rakyat pada Jumaat.

PAKEJ Prihatin Rakyat yang diumumkan oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Khamis turut menghargai petugas barisan hadapan (frontliners) yang bertungkus lumus mengorbankan masa dan tenaga dalam membendung penularan wabak Covid-19.

Bagi menghargai sumbangan golongan ini, Muhyiddin berkata kerajaan bersetuju memberikan elaun khas kepada doktor, jururawat dan kakitangan perubatan lain yang terlibat secara langsung dalam pengurusan dan pembendungan wabak tersebut.

ARTIKEL BERKAITAN: PM umum Pakej Prihatin Rakyat bernilai RM250 bilion, ini bantuan wang tunai yang bakal diterima rakyat

“Saya sedar dalam situasi getir pada waktu ini, kakitangan kesihatan kita sedang bekerja bertungkus lumus dalam keletihan dan keadaan yang agak tertekan.

“Namun mereka terus cekal berjuang mengharungi cabaran yang hebat ini. Sebagai menghargai pengorbanan mereka, kerajaan akan meningkatkan elaun khas yang diterima daripada RM400 kepada RM600 sebulan mulai 1 April 2020 sehingga wabak ini berakhir.

“Pada masa yang sama, kerajaan juga bersetuju memanjangkan elaun khas sebanyak RM200 sebulan kepada anggota tentera, polis, kastam, imigresen, anggota Angkatan Pertahanan Awam serta anggota RELA yang terlibat secara langsung dalam melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” ujarnya dalam perutusan khas yang disiarkan secara langsung di stesen televisyen.

Kerajaan turut mengutamakan petugas kesihatan yang bertungkus lumus menyumbang tenaga dalam usaja membendung penularan wabak Covid-19.

Menurut Muhyiddin, elaun ini juga akan dibayar mulai 1 April 2020 sehingga wabak Covid-19 berakhir.

Dianggarkan seramai 169,000 kakitangan tambahan akan mendapat manfaat ini.

Sementara itu, kerajaan juga telah mengumumkan peruntukan berjumlah RM500 juta kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) seiring dengan keutamaan kerajaan pada waktu ini untuk membendung penularan wabak Covid-19.

Anggota polis, tentera, RELA dan pasukan lain yang bertugas semasa PKP turut menikmati elaun khas.

“Bagi meningkatkan lagi keupayaan kementerian, kerajaan akan menyalurkan peruntukan tambahan sebanyak RM1 bilion bagi pembelian peralatan dan perkhidmatan untuk memerangi Covid-19, termasuk mendapatkan khidmat kepakaran perubatan daripada perkhidmatan kesihatan swasta.

“Selain itu, bagi menyokong usaha KKM untuk menjalankan lebih banyak ujian Covid-19, pihak industri insurans dan takaful akan mewujudkan dana khas berjumlah RM8 juta untuk menanggung kos ujian penyaringan yang bernilai sehingga RM300 bagi setiap pemegang polisi dan sijil takaful perubatan yang diarahkan oleh KKM untuk menjalani ujian di hospital swasta atau makmal swasta,” ujarnya.

Di samping itu kata Muhyiddin, syarikat insurans dan takaful keluarga akan menawarkan penangguhan pembayaran premium atau sumbangan untuk tiga bulan bagi pencarum yang sumber pendapatan mereka terjejas akibat wabak ini.

Terdahulu, beliau mengumumkan Pakej Prihatin Rakyat bernilai RM250 bilion bagi meringankan beban rakyat yang terjejas akibat penularan wabak Covid-19.


Artikel Lain