PERTUBUHAN Kesihatan Sedunia (WHO) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan bekerjasama menjalankan penyelidikan berhubung rawatan bagi menangani wabak Covid-19. Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, agensi antarabangsa itu berminat untuk menjalinkan kerjasama kerana Malaysia menepati kriteria berdasarkan kemampuan untuk menjalankan penyelidikan. ARTIKEL BERKAITAN: Dua lagi meninggal dunia akibat Covid-19, jumlah keseluruhan 26 kematian "WHO telah menghubungi KKM memaklumkan KKM dipilih sebagai salah satu pusat untuk menjalankan penyelidikan rawatan untuk Covid-19. "Kita akan lakukan perbincangan malam ini. Ini peringkat dunia, Malaysia salah satu negara yang dipilih menyertai penyelidikan ini. "Salah satu kriteria yang dipilih adalah kemampuan Malaysia menjalankan kajian," katanya dalam sidang media pada petang Jumaat. Kata Dr Noor Hisham lagi, antara agenda perbincangan yang menjadi tumpuan pada malam ini adalah mengenai keberkesanan ubat yang akan digunakan sebagai penawar Covid-19. "WHO akan mengenalpasti ubat Remdesivir, ubat ni dikenalpasti sebagai ubat yang boleh digunakan untuk Covid-19. Bukti saintifik sama ada mujarab atau tidak, kita kena laksanakan penyelidikan. "Kita ada pesakit, ubat akan diberi oleh WHO dan kita akan buat penyelidikan bersama. Kita akan berbincang dari segi pelaksanaan penyelidikan tersebut," ujarnya. Tambah Dr Noor Hisham, KKM sememangnya berperanan untuk melakukan penyelidikan di samping memberikan perkhidmatan kepada para pesakit. "Di KKM, kita ada tiga paksi atau tanggungjawab besar. Pertama, memberi perkhidmatan. Kedua, menjadi tempat latihan pakar perubatan, jururawat dan sebagainya. "Dan ketiga, menjalankan penyelidikan dalam negara dan peringkat luar iaitu dengan bekerjasama bersama agensi lain seperti WHO dan banyak lagi kerjasama KKM ddi peringkat luar negara," ujarnya lagi.