suria

Ramai tersenyum PM bantu Makcik Kiah buat kiraan mudah... ibu jual pisang goreng, suami pesara bawa Grab, anak pinjam PTPTN!

Kisah keluarga peniaga pisang goreng diceritakan perdana menteri dalam memberi kefahaman mudah kepada rakyat untuk memahami Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat yang diumumkan pada Jumaat. (Gambar Hiasan).

TIADA golongan yang akan tercicir. No one will be left behind.

Demikian kata Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sewaktu pengumuman Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) pada Jumaat petang.

Kata-kata itu sekali gus memberi bayangan bahawa pelbagai peringkat masyarakat di negara ini akan menerima manfaat dan bantuan kerajaan, khususnya dalam berhadapan wabak Covid-19 ketika ini.

ARTIKEL BERKAITAN: PM umum Pakej Prihatin Rakyat bernilai RM250 bilion, ini bantuan wang tunai yang bakal diterima rakyat

ARTIKEL BERKAITAN: Internet percuma hingga tamat PKP, pelajar IPT terima RM200 seorang Mei ini

Namun, pasti ada dalam kalangan kita yang kurang jelas serta masih terkial-kial membuat perkiraan mengenai jumlah dan bantuan kategori manakah yang selayaknya diterima.

Dalam hal itu, perdana menteri turut membuat penjelasan mudah dengan menggunakan contoh keluarga Makcik Kiah.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

"Daripada semua bantuan kerajaan ini, saya nak beri satu contoh mudah supaya saudara-saudari senang kira. Contohnya, Makcik Kiah penjual goreng pisang yang duduk di PPR Desa Tun Razak, yang suaminya adalah pesara kerajaan dan sekarang ini bawa Grab.

"Anak Makcik Kiah adalah peminjam PTPTN. Pendapatan isi rumah Makcik Kiah di bawah RM4,000 sebulan. Dengar baik-baik. Saya nak bantu buat pengiraan berapa keluarga Makcik Kiah akan dapat.

"Keluarga Makcik Kiah akan dapat Bayaran Prihatin Nasional sebanyak RM1,600, baki BSH sebanyak RM600, bantuan pesara sebanyak RM500 dan bantuan tunai e-hailing sebanyak RM500. Kalau suami Makcik Kiah berkhidmat dengan RELA, dia akan dapat RM200 sebulan sehingga wabak berakhir.

Nasib pemandu E-hailing turut mendapat perhatian kerajaan.

"Keseluruhan pemberian tunai yang keluarga Makcik Kiah akan dapat ialah sekurang-kurangnya RM3,400.

"Selain itu, keluarga Makcik Kiah juga akan dapat penjimatan sewa PPR selama 6 bulan sebanyak RM744, penjimatan penangguhan pinjaman kenderaan selama 6 bulan sebanyak RM1,800, penjimatan bayaran bil elektrik selama 6 bulan sebanyak RM120.

"Anak Makcik Kiah juga akan dapat penjimatan daripada penangguhan bayaran balik PTPTN selama enam bulan sebanyak RM1200. Kalau Makcik Kiah ada buat pinjaman kredit mikro untuk perniagaan goreng pisang dengan bayaran balik pinjaman sebanyak RM100 sebulan, Makcik Kiah akan dapat penjimatan sebanyak RM600. Keseluruhan penjimatan ialah sebanyak RM4,464.

"Jadi, keseluruhan nilai manfaat yang akan diterima oleh keluarga Makcik Kiah termasuk pemberian tunai dan penjimatan ialah sebanyak RM7,864. Jadi Makcik Kiah pun dah boleh tersenyum sikit dengar kiraan yang saya buat," jelas Perdana Menteri panjang lebar.

Artikel Lain