suria

Bekalan beras dipantau secara umum, bukan ikut jenama - Ismail Sabri

Kerajaan beri jaminan bekalan makanan mencukupi. fotoBERNAMA.

TIDAK timbul isu bekalan makanan berkurangan dan tidak mencukupi.

Demikian kata Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menerusi sidang media pada Ahad petang.

"Jawatankuasa Khas mengenai bekalan makanan dan keperluan telah bentangkan dan didapati makanan adalah mencukupi. Mereka beri jaminan bahawa bekalan makanan adalah mencukupi.

ARTIKEL BERKAITAN: Beli makanan alasan popular tangkapan ingkar PKP... sampai 4 kali sehari - “Orang sama, polis pun dah kenal”

"Rakyat tidak perlu rasa bimbang untuk buat pembelian panik. Mereka telah meninjau 27 pasaraya atau hypermarket, didapati bekalan makanan asas masih boleh didapati dengan mudah.

"Cuma satu saya nak tekankan disini, apabila kita sebut beras mencukupi, ianya dirujuk kepada beras. Bukan jenama beras tersebut.

"Mungkin ada pihak tertentu, rakyat kita... favourite dia adalah jenama A. Kalau beras jenama A tu tidak ada, bukan bermakna beras tidak ada kerana beras mempunyai pelbagai jenama," ujarnya.

Jelasnya, bekalan beras dilihat secara keseluruhan dari segi produk itu sendiri, bukan atas jenama tertentu yang menjadi pilihan individu.

Dalam pada itu, Ismail turut mengulas isu kumpulan Badan Bukan Kerajaan (NGO) yang kurang senang apabila diarahkan tidak memberi sumbangan secara langsung kepada orang ramai.

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Jelasnya, langkah itu diambil bagi memastikan keselamatan ahli NGO serta penerima sumbangan agar tidak berlakunya sebarang jangkitan Covid-19.

"Isu agak panas semalam. Kita tahu ramai NGO tak puas hati. Kerajaan sangat berterima kasih kepada mereka kerana pada waktu kesusahan, NGO jadi kumpulan penting barisan hadapan yang bantu rakyat.

"Kita mahu mereka menyumbang kepada pusat ditetapkan kerajaan. Dapat nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) kerana mahu jaga keishatan ahli NGO.

"Kita tahu mereka hantar sendiri kepada penerima tapi mereka tak tahu sama ada penerima ada yang kena covid-19 atau tidak. Takut tiba-tiba dijangkit dan akhirnya merebak kepada ahli keluarga, ahli mereka.

"Jadi KKM berpandangan walaupun mereka ingin menyumbang tapi perlu jaga kesihatan dan nyawa mereka. Sebab itu kita buat keputusan semalam kita hantar ke pusat diwujudkan," jelas Ismail.

Tambah Ismail, pihak kerajaan juga sedia berjumpa dengan kumpulan NGO untuk berbincang mengenai isu itu.

"InsyaSAllah, nak jumpa secara mesyuarat ramai-ramai tidak digalakkan, mungkin secara video conference," ujarnya lagi.

beras, makanan, NGO

Artikel Lain