RANGKAIAN Masjid An-Nur meneruskan kegiatan dakwah dan perkongsian ilmu menerusi Siri Kuliah Online seiring arahan penjarakkan sosial menerusi arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara. Ketua Eksekutif Waqaf An-Nur Corporation Berhad (WANCorp), Bukhari Abd Rahman berkata, program itu lazimnya dilaksanakan di enam masjid kelolaan pihaknya. "Siri Kuliah Online itu disiarkan secara langsung di laman Facebook Waqaf An-Nur pada setiap malam antara pukul 7.45 malam hingga 8.30 malam," katanya. Selain itu, katanya, seiring aspirasi kerajaan untuk membantu kelompok peniaga dan usahawan kecil serta penjaja, WANCorp mengambil inisiatif memberi penangguhan pembayaran semula pembiayaan Dana Niaga. "Penangguhan selama enam bulan diberikan kerana majoriti peminjamnya adalah kelompok peniaga kecil,” katanya. Selain itu, WANCorp melalui Yayasan Sultan Ibrahim juga telah menyumbang tiga unit Alat Bantuan Pernafasan (RVM) berharga RM450,000 kepada Hospital Sultanah Aminah untuk keperluan pesakit yang menerima rawatan kerana jangkitan Covid-19 di situ. Katanya, WANCorp telah melancarkan kempen sumbangan Dana Covid-19 pada 24 Mac lalu dan berjaya mengumpulkan sebanyak RM35,000 yang sudah diagihkan kepada yang memerlukan.