suria

PKP fasa 2 lebih ketat! Pasar raya, restoran dan bisnes lain diarah tutup pukul 8 malam

Operasi perniagaan dihadkan dari pukul 8 pagi sehingga 8 malam berkuatkuasa 1 April.

PERINTAH Kawalan Pergerakan (PKP) fasa kedua yang bermula dari 1 April hingga 14 April ini akan diperketatkan.

Menurut Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, operasi premis perniagaan dan stesen minyak akan dipendekkan berbanding fasa pertama yang bermula 18 Mac lalu.

ARTIKEL BERKAITAN: Bermula tengah malam ini, arahan PKPD berkuatkuasa di Hulu Langat libatkan hampir 4,000 penduduk

"Mesyuarat pagi ini menetapkan waktu operasi pasaraya, hypermarket dan premis yang menjual makanan harian dibuka antara pukul 8 pagi sehingga 8 malam sahaja.

"Restoran, gerai makanan... walau dibenar beroperasi untuk beli bungkus, waktunya juga dari 8 pagi hingga 8 malam.

"Stesen minyak juga dihadkan operasi dari 8 pagi hingga 8 malam, kita selaraskan semuanya," ujarnya menerusi sidang media pada Isnin.

Bermula 1 April, tiada perniagaan dibenarkan beroperasi selepas jam 8 malam. -foto Bernama

Tambah Ismail, waktu operasi pengangkutan awam pula adalah sama seperti fasa 1 PKP, iaitu bermula 6 pagi sehingga 10 malam dan 5 petang sehingga 10 malam.

Ini termasuk bas henti-henti, bas percuma seperti GoKL dan Smart Selangor, semua bas perantara, perkhidmatan rel Aliran Transit Ringan (LRT), monorel dan Transit Aliran Massa (MRT), Express Rail Link (ERL) dan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB).

Bagaimanapun, perkhidmatan teksi dan e-hailing masih boleh meneruskan operasi seperti biasa bermula 6 pagi hingga 10 malam.

Mengenai kenderaan komersil yang melibatkan barangan keperluan dan makanan, mereka masih dibenar beroperasi secara normal namun digalakkan bergerak pada sebelah malam sahaja.

"Kerajaan galakkan mereka beroperasi antara pukul 7 malam sehingga 7 pagi.

"Ianya digalakkan, bukan arahan... kerana didapati ada kenderaan perlu jangka masa panjang untuk operasi.

"Kita setuju pengecualian itu, walau bagaimanapun kita galakkan beroperasi pada waktu malam," katanya lagi.

Artikel Lain